`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



Tuesday, February 11, 2025

Anwar cadang Turki jadi rakan dialog Asean

 

Free Malaysia Today
Anwar Ibrahim bersalaman dengan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan selepas sidang media bersama di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya, hari ini. (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA
Malaysia selaku pengerusi Asean mencadangkan Turki dimasukkan sebagai rakan dialog Asean.

Membuka ruang untuk penyertaan Turki, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dalam sidang media bersama Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan di Putrajaya berkata, Malaysia menyokong penuh peluasan hubungan Asean dengan pemain global utama.

“Turki juga wajar dipertimbangkan sebagai rakan dialog,” kata Anwar sambil menekankan Asean sudah menjalin hubungan dengan Kesatuan Eropah (EU), Kanada, New Zealand, Australia, China dan India antara lain sebagai rakan dialog.

Anwar berkata, beliau berbincang dengan Kementerian Luar untuk membawa cadangan ini ke peringkat pemimpin Asean bagi pertimbangan lanjut.

Asean terdiri daripada 10 negara anggota, iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Dalam kenyataan bersama sempena lawatan rasmi Erdogan ke negara ini, Malaysia mengalu-alukan permohonan Turki untuk menjadi rakan dialog Asean serta penglibatannya dalam mekanisme pertahanan serantau.

Kenyataan itu turut mengesahkan sokongan Malaysia terhadap bidaan Turki dalam Program Pemerhatian Kumpulan Kerja Pakar (EWG) Mesyuarat Menteri Pertahanan Asean (ADMM)-Plus bagi tempoh 2024-2027.

Selain itu, Malaysia turut menghargai sokongan Turki terhadap pemusatan Asean serta komitmennya untuk mengukuhkan hubungan dengan rantau ini, menurut kenyataan itu. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.