`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


Sunday, February 2, 2025

Ubah kaedah pemilihan, pemimpin harap Umno tak dikuasai golongan ‘berduit’

 

pau
Cadangan kaedah pemilihan baharu diharap dapat menarik golongan muda menyertai Umno yang telah berusia 78 tahun.

PETALING JAYA
Seorang pemimpin Umno berharap sebarang cadangan mengubah kaedah pemilihan tidak menjadikannya sebagai parti eksklusif, dikuasai mereka mempunyai wang dan dari kabilah politik tertentu.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Puad Zarkashi berkata ini kerana Umno perlu memilih pemimpin berkualiti dan berbakat yang boleh dibentuk dengan struktur penting termasuk pemilihan untuk memastikannya sentiasa relevan, mampu bangkit dan kembali dominan.

Menurutnya, sistem pemilihan Umno itu juga mesti dapat menarik minat golongan muda menyertai parti berusia 78 tahun terbabit.

“Kita tidak mahu Umno menjadi parti eksklusif, dikuasai mereka yang ada wang dan kabilah politik tertentu. Kita mahu memilih pemimpin yang berkualiti dan ada bakat

Puad Zarkashi
Puad Zarkashi.

“Kepimpinan tertinggi Umno disaran melaksanakan kajian mendalam serta mendapatkan pandangan akar umbi terlebih dahulu sebelum mengubah sistem pemilihan parti,” katanya kepada FMT.

“Saya sokong jika ada cadangan supaya kaedah pemilihan Umno dikaji semula, berubah maka kaedah mesti berubah.”

Puad mengulas hantaran Naib Presiden Umno Khaled Nordin di Facebook pada 23 Jan lalu yang parti itu sedang mempertimbang beberapa perkara termasuk kaedah pemilihan pucuk pimpinan.

Bagaimanapun, beliau yang juga pengerusi Biro Perlembagaan dan Keahlian Umno tidak menjelaskannya secara lanjut.

Presiden Umno Zahid Hamidi pada Julai tahun lalu dipetik berkata parti itu terbuka meneliti cadangan mengubah sistem pemilihannya termasuk kembali kepada kaedah lama membabitkan jawatan tertinggi peringkat pusat.

Kenyataannya itu menyusul laporan media berhubung cadangan supaya Umno kembali kepada sistem lama pemilihan parti iaitu terhad kepada perwakilan dipilih bukan lagi babit akar umbi yang diubah sedekad lalu.

Pada 2013, Umno memperkenalkan kaedah pemilihan membenarkan kira-kira 150,000 perwakilan mengundi berbanding hanya 3,000 orang dipilih ke perhimpunan agung parti itu.

Jalaluddin Alias
Jalaluddin Alias.

Ketua Umno Negeri Sembilan Jalaluddin Alias turut senada yang sebarang perubahan perlu mendapat sokongan secara kolektif daripada peringkat pimpinan tertinggi, negeri, bahagian dan cawangan.

“Kemungkinan besar bila semua sudah selesai (dapat sokongan kolektif), pada PAU (perhimpunan agung) tahun ini bolehlah diadakan pindaan ini,” katanya yang juga ahli MKT Umno.

Othman Desa
Othman Desa.

Pengerusi Veteran Umno Othman Desa pula berkata ada keperluan untuk menilai semula sama ada wajar pindaan itu dibuat jika tarikh PRU semakin hampir.

“Adakah masa ini kita nak kalut ubah sistem (pemilihan). Mana lebih keutamaan paling penting?,” kata ahli MKT itu yang bagaimanapun menjelaskan Umno terbuka mendengar sebarang cadangan menguntungkannya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.