
Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook, berkata penerima kebanyakan dari Kampung Kuala Sungai Baru mendapat ‘pemilikan penuh’ motosikal itu tanpa perlu membayar kos insurans untuk tahun pertama, nombor pendaftaran dan cukai jalan.
“Ini dapat membantu mangsa bukan hanya kehilangan motosikal sebagai mod pengangkutan, tetapi mungkin memerlukannya untuk mencari nafkah kehidupan.
“Memang tak dapat cari motosikal untuk disewakan, maka kami terus dapatkan penajaan dan terus membeli motosikal kepada mangsa. Mereka tak perlu bayar apa-apa,” katanya selepas majlis penyerahan motosikal kepada mangsa letupan paip gas di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Putra Heights.
Loke berkata, semua penerima motosikal telah disaring dan ‘disahkan’ status mangsa dari kawasan terjejas sebelum mendapat sumbangan, dengan bantuan ketua kampung terbabit.
Dalam pada itu, beliau menzahirkan penghargaan kepada Yamaha yang sudi menjual motosikal dengan harga RM5,000 seunit berbanding RM5,800 di pasaran.
Dalam insiden Selasa lalu, kebakaran mengambil masa lapan jam untuk dipadamkan apabila api menyambar bahagian saluran paip gas sepanjang 500m, mengakibatkan 111 cedera, kebanyakan melecur dan mengalami masalah pernafasan.
Sejumlah 235 premis terjejas, dengan 87 kediaman musnah sepenuhnya, dan tidak lagi selamat didiami, manakala 148 lagi boleh diduduki selepas pembaikan.
Sebanyak 399 kenderaan turut terkesan, dengan 225 terbakar dan 174 mengalami kerosakan. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.