`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Tuesday, April 8, 2025

Elaun APM patut naik kepada RM80 sehari, kata Zahid

 

Free Malaysia Today
Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi berkata walaupun dikira sebagai barisan kedua pertahanan negara anggota APM sering tampil di barisan hadapan mutakhir ini. (Gambar Bernama)

KAJANG
Elaun anggota sukarelawan Agensi Pertahanan Awam (APM) patut dinaikkan kepada RM80 sehari, berbanding RM40 pada masa ini, cadang Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi.

Zahid yang juga pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata, kadar elaun itu wajar dinaikkan, mengambil kira tugas serta tanggungjawab yang dipikul anggota terbabit, terutama dalam aspek pengurusan bencana.

Katanya, cadangan itu juga akan dibincangkan pada peringkat Jemaah Menteri dan kementerian berkaitan dalam masa terdekat.

“Saya lihat ada anggota dan pegawai APM sanggup ketepikan perayaan bersama keluarga untuk membantu mangsa ketika kejadian kebakaran (paip gas) di Putra Heights baru-baru ini,” katanya.

“Saya mahu peranan APM diiktiraf dan elaun yang diberikan untuk kerja sukarela hanya RM40 sehari. Saya sudah berbincang agar disamaratakan (elaun) dengan sukarelawan lain, iaitu sebanyak RM80 sehari.”

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Penutup Bulan Pertahanan Awam Tahun 2025 di Ibu Pejabat APM, yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof dan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Sejak 2023, anggota sukarelawan APM memperoleh elaun harian sebanyak RM40, berbanding cuma RM5 sejak 1970.

Zahid hari ini menegaskan, walaupun dikira sebagai barisan kedua pertahanan negara, anggota APM sering tampil di barisan hadapan mutakhir ini, termasuk susulan bencana di Putra Heights.

Walaupun kejadian berlaku pada Hari Raya kedua, katanya, pegawai dan anggota APM antara yang paling awal tiba di lokasi kejadian.

Dalam pada itu, beliau memuji kecemerlangan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (Smart) yang terlibat dalam misi bantuan mangsa gempa bumi Myanmar.

“Pasukan Smart antara pasukan mencari dan menyelamat khas ternama di Asia selain Jepun. Di seluruh Asean, hanya Malaysia ada pasukan Smart.

“Mereka telah mengharumkan nama negara di Myanmar. Saya telah meminta untuk mereka semua diberi sijil penghargaan,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.