Malaysia juga tidak suka orang asing masuk campur urusan kita. Reaksi pemimpin dan rakyat cukup keras apabila insiden ini berlaku atau cuba dilakukan.

Untuk penulisan ini saya pinjam tajuk lagu P Ramlee-Saloma ‘Malam Ku Bermimpi’ untuk memulakannya.
Begini. Saya bermimpi malam tadi ada pemimpin People’s Action Party Singapura sokong seorang calon DAP yang akan bertanding PRU16, yang hanya a few days away. Sokongan pemimpin PAP itu dimuat naik di Facebook agar satu Malaysia boleh tengok. Muncul pula dalam mimpi seorang warga Malaysia yang sudah melepaskan kewarganegaraan merungut pasal beberapa ‘ketidakadilan’ kerajaan majoriti Melayu ke atas masyarakat Cina. Seorang lagi pemimpin PAP terus repost hantaran itu di Facebook.
Belum sempat bab reaksi Malaysia tup-tup terus saya terjaga. Mujur juga, kalau mimpi berterusan pasti dream will turn to be a nightmare, mengambil kira reaksi Malaysia terutama orang Melayu. Alhamdulillah hanya mimpi. Apa yang saya mimpi itu tidak terjadi. PAP tidak akan lakukan perkara tidak cerdik. Mereka tak bodoh.
Orang tua masa saya budak-budak dulu selalu kata tidur tak basuh kaki mesti dapat mimpi buruk. Sekarang saya sendiri dah tua basuh kaki sebelum tidur tapi mimpi juga.
Sekarang bercakap pula mengenai sesuatu yang benar berlaku. Pasti anda ada baca mengenainya di media. Imbau sepintas lalu, Bendahari PAS Iskandar Abdul Samad membuat hantaran FB menyatakan sokongan terhadap calon Workers Party, Faisal Manap, yang akan bertanding pilihan raya Singapura pada 3 Mei ini. Ketua Pemuda PAS Selangor Mohamed Sukri Omar pula berkongsi hantaran seorang yang dikenali di Facebook sebagai ‘Zai Nal’ mengenai ‘masalah’ orang Melayu-Islam Singapura. Nama sebenarnya Zulfikar Mohamad Shariff, pernah menjadi warganegara Singapura tetapi melepaskan kerakyataan dan kini dikatakan menetap di Australia.
Pemerintah Singapura mendakwa dua pemimpin PAS itu cuba mempengaruhi pilihan raya republic itu ketika menyatakan sokongan kepada Faisal. Kedua-dua menafikan malah Iskandar beritahu Malay Mail di dalam Malaysia pun beliau tidak berpengaruh masakan boleh pengaruhi pilihan raya Singapura.
Pun begitu pada pandangan saya declare support openly pada seorang calon pilihan raya Singapura ialah sesungguhnya percubaan mempengaruhi keputusan (walaupun kemungkinan berhasil mustahil) pilihan raya. Atau cobaan (pinjam daripada P Ramlee lagi) memujuk pengundi. Atau setidak-tidaknya berkempen.
Faisal terkenal membangkitkan isu membabitkan orang Melayu dan Islam Singapura tetapi bukan hardline Islamist. Ini perlu ditegaskan. Saya pernah menonton di YouTube beliau bertikam lidah di Parlimen secara gentleman (tak ada jerit-jerit maki-maki) dengan Menteri Keselamatan dan Undang-undang K Shanmugam mengenai soal ‘Islam is a way of life’.
Waktu itu saya kira beliau Anggota Parlimen bagi kawasan GRC Aljuneid dan bertanggungjawab ke atas apa yang dipanggil divisyen Kaki Bukut. Menurut sistem pilihan raya Singapura ada pertandingan untuk GRC atau kawasan undi perwakilan berkumpulan dan ada pertandingan bagi kawasan undi perseorangan atau SMC.
Faisal menjadi Anggota Parlimen Aljunied sejak 2011 mewakili Workers Party. Untuk pilihan raya tahun ini Faisal yang berusia 49 tahun masih bersama Workers Party tetapi kali ini bertanding di GRC Tampines. Beliau mengetuai pasukan untuk tawan GRC itu dan dalam Workers Party Faisal memegang jawatan naib pengerusi. Mungkin PAS tertarik dengan perjuangan Faisal mengenai orang Melayu dan agama Islam lantas menyatakan sokongan dan saya ulangi sekali gus mencampuri urusan dalaman Singapura.
Malaysia juga tidak suka orang asing masuk campur urusan kita. Reaksi pemimpin dan rakyat cukup keras apabila insiden ini berlaku atau cuba dilakukan ke atas Malaysia.
Mungkin juga dua pemimpin PAS itu terpaling Islamis. Lihat apa kata Sukri mengenai hantaran di Facebook yang “hanya tanggungjawab moral sebagai Muslim yang prihatin terhadap nasib masyarakat Melayu Singapura”. Bagi saya Sukri dan Iskandar kononnya sokong Faisal sebab ada agenda sendiri. Saya kata ‘kononnya sokong’ kerana melihat kata-kata Sukri tadi mereka mahu mengunakan situasi di Singapura atau apa yang mungkin dikatakan Faisal sebagai modal politik di Malaysia. Maksud saya for home consumption.
Bukan perkara baru PAS dan beberapa pihak dalam kalangan masyarakat Melayu termasuk bekas perdana menteri Mahathir Mohamad cukup gemar memomok-momok orang Melayu Malaysia dengan menuding jari pada ‘nasib’ Melayu Singapura yang mereka dakwa tidak sebaik nasib Melayu Malaysia.
Perlu dinyatakan kawan-kawan saya yang Melayu Singapura beritahu bukan semua yang dimomok itu betul. Kerap juga mereka bandingkan oren dengan epal.
Bagaimanapun apa yang dilakukan oleh Iskandar dan Sukri sedikit sebanyak letak Workers Party malah Faisal sendiri in a spot. Kata partinya menerusi satu kenyataan “we can’t choose who supports us” — jelas merujuk tindakan dua pemimpin PAS tempoh hari. Ini boleh juga dibaca Workers Party tidak pernah minta PAS menyokong mereka. Workers Party juga reaffirms its secular stance.
Kata Setiausaha Agung Workers Party Pritam Singh, “This is Singapore. It is a multiracial society so every candidate has to represent all Singaporeans equally and fairly”. Pasti ada pihak di Malaysia yang memandang sinis ungkapan ‘all Singaporeans equally and fairly’ tetapi hakikatnya republik itu tidak akan membenarkan campur aduk antara politik dan agama, bak kata Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong. Tidak perlu saya ulangi sebab-sebabnya yang beliau huraikan. Semua parti politik Singapura bersependapat.
Pilihan raya Singapura diadakan semasa perang dagangan AS-China memanas. Mengadakan pilihan raya waktu ini langkah bijak. Mesej PAP kepada rakyat pilih parti mana boleh bawa Singapura mengharungi ribut taufan yang akan melanda. Pritam akui PAP akan terus bentuk kerajaan tetapi harapannya ialah agar lebih besar suara pembangkang di Parlimen.
Pilihan raya Singapura fokusnya pada ekonomi, kewangan, dan pekerjaan. Tidak ada isu ladang babi, pembinaan kuil, istilah kuil haram, tuduh orang Melayu dalam kerajaan tunduk pada orang bukan Melayu atau tuduh kerajaan menyebelahi orang Melayu sekali gus menganaktirikan orang bukan Melayu.
Kata Wong: “After the dust from the campaign settles the contest will not be the PAP versus the opposition. It will be Singapore versus the world — a turbulent world with a multitude of external challenges and threats.”
Selamat mengundi Singapura. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.