`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Wednesday, April 16, 2025

Nuar Musa tak serik

 

hishamuddin-aun

Nampaknya Annuar Musa masih tak serik-serik. Ahli jawatankuasa PAS pusat itu kelmarin menyindir Barisan Nasional (BN) sebagai tidak perlu bekerja keras dalam tempoh kempen PRK Ayer Kuning pada 26 April ini atas alasan kemenangan sudah pun dalam tangan.

“Jentera BN tentunya lega dan sudah boleh ‘relax’. 18,000 undi adalah peningkatan 100% berbanding jumlah undi yang diterima pada Pilihan Raya Umum lalu,” katanya dalam coretan di Facebook pada Ahad.

“Sekiranya kadar keluar mengundi mencecah 65%, kira-kira 22,000 pengundi dijangka keluar menunaikan tanggungjawab. Jika benar Umno sudah memperoleh 18,000 undi, maka PAS dijangka tidak memperoleh lebih daripada 4,000 undi. Ini bermakna BN akan menang dengan majoriti lebih 14,000 undi.

“Demikianlah kuatnya BN Perak pimpinan Saarani. Pasukan kempen Perikatan Nasional (PN) sudah tentu akan berusaha lebih gigih untuk meraih undi,” tambahnya secara sinis.

Timbalan ketua pengarah jabatan pilihan raya PAS pusat itu sebenarnya menyasarkan sindiran berkenaan kepada Menteri Besar Saarani Mohamad yang digelarnya ‘pakar’ dalam pengurusan data dan bilik gerakan Umno.

Malah, tidak cukup dengan itu, unjuran berkenaan — BN sasarkan sekurang-kurangnya 18,000 undi — disindirnya sebagai pasti berdasarkan analisis kukuh sambil menempelak Umno Perak hanya menang lapan kerusi DUN termasuk Ayer Kuning pada PRU15 — keputusan terburuk dalam sejarah Umno negeri itu.

Hairannya apa yang beliau sakit hati dengan Saarani sedangkan Annuar sendiri ramalkan perkara yang sama menjelang PRK Mahkota 28 Sept lalu hingga beliau dicemuh rakan-rakan dalam PAS sendiri.

Ketika itu, Annuar meramalkan calon BN akan menang besar berdasarkan keputusan PRN Johor 2022 apabila BN memperoleh lebih 16,000 undi (16,611) sementara Pakatan Harapan (PH) memperoleh lebih 11,000 undi (11,445).

“Dijangkakan BN akan dengan mudah menambah undi mereka seperti di Nenggiri, mungkin melebihi 30,000 undi. Sebaliknya PN bermodalkan hanya 7,000 undi (7,614) pada PRN lalu. Ini menunjukkan lebih 20,000 undi lebih rendah daripada undi diperoleh BN-PH,” katanya.

Gara-garanya Pengarah Pilihan Raya Bersatu Abdul Rahman Masudi menggelar Annuar tidak profesional dan ada agenda tertentu hingga Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man terpaksa menepisnya sebagai berpandukan kepada keadaan semasa pada PRN 2022 — ketika gelombang sokongan pengundi kepada PN belum berlaku manakala peratusan pengundi muda yang keluar juga sangat rendah.

Namun, benar seperti dibayangkan Annuar, calon BN Syed Hussien Syed Abdullah (27,995 undi) mengatasi calon PN Mohamad Haizan Jaafar (7,347 undi) dengan majoriti 20,648 undi atau empat kali ganda berbanding majoriti 5,166 diraih Sharifah Azizah Syed Zain dalam pertandingan empat penjuru ketika PRN Johor pada 22 Mac 2022.

Adakah Annuar sudah lupa? Rasanya tidak melainkan beliau — yang tular dengan hujah “Suka aku la, pitih aku” apabila disindir mengenakan pakaian jenama Louis Vuitton ketika berkempen di kampung Orang Asli menjelang PRK Nenggiri pada pada 17 Ogos tahun lalu — sengaja buat-buat lupa.

Atas perkiraan sama seperti digunakan Annuar 13 bulan lalu, Saarani ketika Majlis Pelancaran Jentera dan Pengumuman Calon BN pada 7 April, mengumumkan sasaran BN untuk meraih sekurang-kurangnya 18,000 undi pada PRK Ayer Kuning. Ia bukan pun sesuatu yang tidak masuk akal berdasarkan DUN Ayer Kuning dengan 31,897 pengundi berdaftar — Melayu 55.64%, Cina 21.99%, India 14.3% dan kumpulan lain 8.07% — adalah kubu BN sejak sekian lama.

“Dalam PRU15, calon BN memperoleh 9,088 undi, calon PH dari Amanah mendapat 6,875 undi dan calon PN pula meraih 6,812 undi. Atas kertas, jika semua undi BN dan PH digabungkan, kita sudah ada asas yang kukuh dengan anggaran 15,000 undi,” katanya.

Berbanding Annuar yang tampil dengan ramalan songsang pada PRK Mahkota, Saarani pula tidak hanya buat perbandingan dengan keputusan PRU15, malah berdasarkan rekod bahawa BN menguasai DUN Ayer Kuning sejak 1986 atau hampir empat dekad lamanya — Azman Mahalan (1986-2004), Samsudin Abu Hassan (2004-2022) dan Ishsam Shahruddin yang meninggal dunia 22 Feb lalu.

Selain menampilkan calon Mohamad Yusri Bakir yang berkelayakan doktor falsafah dalam pendidikan agama, BN boleh meyakini ia berupaya mengurangkan undi PN daripada pemilih Melayu kali ini. PAS pula mempertaruhkan Pengerusi PN Tapah Abdul Muhaimin Malek, bekas pengetua Maahad Tahfiz Quran Ad-Din Ayer Kuning.

“Umno letak seorang ustaz bukan kerana takut hilang pengundi Melayu, sebaliknya hendak pastikan kalau belah sana letak ustaz, belah sini pun letak ustaz. Tujuannya supaya tidak ada kelebihan mana-mana pihak yang dapat memanfaatkan pengundi Melayu. Jadi, faktor ustaz atau pegawai agama tidak akan jadi satu kerugian buat Umno,” kata seorang penganalisis.

Saarani turut menyandarkan keyakinan kepada kerjasama erat antara jentera BN dan Pakatan Harapan (PH) di samping sokongan padu daripada rakan strategik di seluruh negara.

“Kita lihat di Mahkota kalau DAP dan MCA berkempen bersama, orang Cina akan teruja. Dan sudah ada buat pertama kali kerelaan orang Cina yang keluar mengundi iaitu penyokong PH untuk sokong calon Umno. Di situ saja sudah jadi satu kemenangan besar buat BN dan dia akan menang berlipat ganda lebih besar jika dia dapat ulangi apa yang berlaku di Mahkota,” kata penganalisis itu lagi.

Annuar yang harus berasa peritnya kekalahan dua kali berturut-turut di Nenggiri dan Mahkota pastinya mahu mengelakkan kekalahan ‘hatrik’, lantas mencipta naratif kononnya jentera BN-PH sudah boleh bersenang-lenang menantikan kemenangan.

Dalam pada itu, ramalan songsang terbarunya itu — jika terbukti benar — rasanya tidak akan membuat dirinya berasa serik untuk mengulanginya pada waktu lain pula. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.