
“Suara Amanah di peringkat akar umbi ini perlu dihormati oleh parti kerana ia adalah usul yang diluluskan dalam mesyuarat tahunan kawasan,” kata Setiausaha Agung Muhammad Faiz Fadzil.
Semalam, media melaporkan Amanah Hang Tuah Jaya meluluskan resolusi menggesa PH bersedia bertanding solo, dalam mesyuarat tahunan bahagian itu.
Menurut Malaysiakini, ahli sebulat suara bersetuju PH perlu mempertimbangkan untuk menghadapi pertembungan tiga penjuru jika perlu, menuduh Umno tidak ikhlas dan angkuh dalam kerjasama politik.
Perkembangan di Hang Tuah Jaya itu dilaporkan sebagai mencerminkan rasa kurang senang dalam PH berhubung rundingan kerusi dan dinamik kerajaan perpaduan menjelang PRN.
Faiz tidak menolak kemungkinan resolusi gerak solo itu berikutan pertindihan kerusi dengan Umno. “Saya memahami suara ahli di peringkat akar umbi kerana banyak kerusi-kerusi yang ditandingi Amanah bertindih dengan Umno.”
Sementara itu, Ketua Pemuda Mohd Hasbie Muda berkata keputusan akhir berhubung sama ada resolusi Hang Tuah Jaya itu diterima atau ditolak akan dimuktamadkan dalam konvensyen nasional.
“Setiap pandangan dan usul dari akar umbi akan diraikan oleh pimpinan dan perlu dihormati,” katanya ketika dihubungi.
Melaka mempunyai 28 kerusi DUN. Pada PRN 2021, BN memenangi 20 kerusi, PH raih lima kerusi dan Perikatan Nasional menawan tiga kerusi.
Pertikaian kerusi membabitkan satu lagi komponen PH dan Umno pernah timbul pada Mei apabila sembilan cawangan DAP Melaka meluluskan strategi yang membahagikan kerusi secara sama rata antara PH dan BN. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.