`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


Thursday, December 25, 2025

Bersatu digesa bertindak terhadap lima Adun tarik sokongan

Gagal bertindak akan beri isyarat yang salah, kata Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi PAS, Nurul Islam Mohamed Yusoff.

bersatu logo
Bersatu digesa bertindak tegas terhadap lima Adun parti itu yang menarik balik sokongan kepada menteri besar dari PAS, di Perlis.
PETALING JAYA:
 Bersatu digesa bertindak tegas terhadap lima Adun parti itu di Perlis, susulan kemelut yang membawa kepada peletakan jawatan pemimpin PAS, Shukri Ramli, sebagai menteri besar.

Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi di Lajnah Penerangan PAS Pusat, Nurul Islam Mohamed Yusoff, berkata kemelut di Perlis bermula apabila dilaporkan lima Adun Bersatu menarik balik sokongan kepada Shukri.

Nurul mengingatkan bahawa kegagalan bertindak terhadap lima Adun berkenaan “akan memberikan isyarat yang salah”.

“Tindakan lima orang Adun Bersatu ini secara jelas cubaan menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional Perlis. Ini satu bentuk sabotaj terhadap menteri besar PAS,” katanya di Facebook.

Shukri mengumumkan beliau melepaskan jawatan menteri besar, petang tadi, selepas tiga tahun menggalas amanah tersebut.

Situasi di Perlis mula dilaporkan FMT pada Isnin. Sumber memaklumkan lapan Adun menyerahkan akuan berkanun kepada Raja Perlis Jumaat lepas, menyatakan mereka tidak lagi menyokong Shukri.

Menurut sumber, lima daripada mereka terdiri daripada wakil rakyat Bersatu, iaitu Abu Bakar Hamzah (Kuala Perlis), Izizam Ibrahim (Titi Tinggi), Megat Hashirat Hassan (Pauh), Wan Zikri Afthar Ishak (Tambun Tulang), dan Marzita Mansor (Sena).

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan Bersatu mengemukakan tiga nama Adunnya sebagai calon menteri besar, iaitu Abu Bakar Hamzah (Kuala Perlis), Megat Hashirat Hassan (Pauh) dan Izizam Ibrahim (Titi Tinggi).

Pada hari sama, PAS mengumumkan keahlian tiga Adun iaitu Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji), terhenti serta-merta berdasarkan Fasal 76 dan Fasal 15A(1)(b) Perlembagaan PAS (Pindaan 2025).

Fasal 15A(1)(b) menyatakan keahlian seorang ahli dipilih sebagai seorang Adun terhenti serta-merta apabila ahli tersebut menyertai atau menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak yang bertentangan dengan arahan atau pendirian parti. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.