SESIAPA saja yang mengikuti perkembangan ekonomi negara tentu sudah tahu 1Malaysia Development Bhd (1MDB) telah gagal bayar balik hutang AS$602.73 juta (kira-kira RM2.56 bilion) kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) Isnin lalu.
1MDB adalah syarikat milik penuh Kementerian Kewangan manakala IPIC yang diniagakan di bursa saham Inggeris di London adalah milik kerajaan Abu Dhabi.
1MDB bagi alasan duit untuk bayar balik hutang itu sedang dikumpulkan melalui proses rasionalisasinya dan memohon agar IPIC bagi sedikit masa.
Inilah masalah 1MDB. Berniaga dengan berhutang besar tapi tidak jana hasil yang cukup untuk bayar balik. Dalam itu pula berlaku penyelewengan yang luar biasa di dalam dan luar negara.
Macam kata Tan Sri Abdul Wahid Omar masa jadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, perniagaan 1MDB tak lestari. Dia kata, dengan modal yang rendah dan hutang yang tinggi, perniagaan 1MDB tidak lestari dari awal-awal lagi.
Kita semua sudah tahu yang hutang 1MDB, macam dibagi tahu oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara Parlimen (PAC), telah naik melebihi RM50 bilion pada awal 2016.
Kita pun sudah dengar macam mana 1MDB telah jual atau gadai harta yang didapatinya dengan harga murah daripada kerajaan macam tanah Tun Razak Exchange (TRX) di Jalan Tun Razak dan bekas Pangkalan Tentera Udara Diraja (TUDM) di Sungai Besi.
Tapi duit yang ia dapat tak cukup juga untuk bayar balik hutang hingga kerajaan, melalui Kementerian Kewangan, terpaksa ambil alih atau bagi jaminan.
Dalam kenyataannya, 1MDB kata duit untuk bayar balik hutang IPIC itu patutnya masuk bulan lepas tapi tak masuk sebab ada kelulusan yang perlu diperoleh. Ia merayu kepada IPIC agar diberi tempoh hingga penghujung bulan ini.
Tapi IPIC kata, 1MDB hanya ada tempoh lanjutan lima hari kerja seperti termaktub dalam perjanjian. Selepas tempoh itu, IPIC kata denda dan tindakan-tindakan lain akan dikenakan.
Kita tidak tahu macam mana dan dari mana sebenarnya 1MDB akan dapat duit untuk bayar balik hutang yang begitu banyak. Macam mana kita nak tahu kalau semua perkara berkaitan 1MDB adalah rahsia sehingga di Parlimen pun tak boleh bahas.
Cuma, seperti saya katakan berulang kali, kita harap duit negara dan rakyat jelata tidak lagi diambil secara sah atau haram untuk kambus hutang 1MDB. Secara kebetulan pula, Bank Negara baru saja menjual bon 20 tahun bernilai RM2.5 bilion iaitu hampir bersamaan dengan hutang 1MDB itu.
Tawaran bon itu ditutup 4 Ogos.
Bayaran balik RM2.56 bilion itu hanya separuh daripada hutang yang 1MDB kena bayar balik kepada IPIC tahun ini. Separuh lagi kena dilangsaikan hujung tahun ini.
Kesan kegagalan 1MDB bayar balik hutang IPIC adalah sangat besar dan berbahaya. 1MDB mungkin diseret sekali lagi ke mahkamah timbang tara antarabangsa sekali lagi dan penarafan mata wang, pelaburan dan pinjaman kita mungkin akan diturunkan.
Ambil contoh amaran bekas Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah pada bulan Jun 2015. Dia kata, kalau masalah 1MDB tidak diselesaikan, kadar tukaran ringgit mungkin jatuh ke tahap tahun 1988 waktu Krisis Kewangan Asia.
Lebih kurang dua bulan kemudian, pada 12 Ogos ringgit jatuh ke bawah paras RM4 buat kali pertama sejak 1998 dan kekal sampai hari ini.
Satu perkara lagi.
Adalah tidak mustahil permohonan akan dibuat agar 1MDB diisytiharkan muflis supaya hartanya boleh dirampas oleh pihak-pihak yang memberi hutang kepadanya.
Dalam perkembangan berasingan tetapi hampir serupa, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim, bagi tahu Parlimen yang Felda mengalami kerugian dalam buku sebanyak RM2.06 bilion kerana pelaburan langsung dalam Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV).
Dia maklumkan Parlimen pada 31 Julai bahawa kerugian itu adalah pada kadar harga 30 Jun lalu. Kerugian modal ini adalah sangat besar berbanding dividen sebanyak RM328.33 bilion yang dibayar oleh FGV. Felda memegang 21.25 peratus saham FGV.
Kita sudah tahu bahawa FGV adalah mainan pasaran atau dalam bahasa Inggeris disebut market play yang berkait rapat dengan pilihan raya umum (PRU) 2013. Peneroka dan kakitangan Felda dijanjikan durian runtuh hasil penyenaraian FGV di Bursa Malaysia.
Malangnya, bukan sahaja ia tidak menjadi durian runtuh kepada peneroka dan kakitangan Felda, sebaliknya mereka menanggung kerugian jangka panjang yang sangat teruk. Wallahuaklam.
– SH
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.