Timbalan PM berkata media arus perdana mendukung etika kewartawanan.
VIDEO INSIDE
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini sekali lagi menyasarkan bekas perdana menteri tanpa menyebut namanya, walaupun jelas serangan beliau kali ini ditujukan kepada lawan utama kerajaan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Menurutnya, bekas perdana menteri itu menetapkan dan mengawal agenda agensi berita tempatan.
Sebaliknya, Zahid berkata perdana menteri selepasnya memberi kebebasan kepada media untuk melapor.
“Dalam disertasi kedoktoran saya, saya membuat kajian perbandingan antara Berita Harian dan Utusan, dalam 5 kali pilihan raya Malaysia di bawah seorang pemimpin yang paling lama memerintah negara ini.
“Saya perhatikan agenda media pada masa itu ditetapkan oleh seorang individu.
“Agenda media dibuat oleh seseorang. Apa yang dilakukan ketika itu, tetapan tidak banyak bergantung pada agensi media, tetapi ditentukan oleh seseorang itu,” kata Zahid ketika berucap pada sambutan ulang tahun ke-60 Berita Harian.
Zahid berkata kebebasan media lebih baik selepas “bekas perdana menteri” yang tidak dinamakan itu.
“Tiada kawalan, tiada agenda ditentukan terlebih dahulu.”
Menurut Zahid, bekas pemimpin itu patut mengakui “zaman selepasnya” lebih baik berbanding zaman di bawah pentadbirannya.
Sementara itu, Zahid mengucapkan tahniah kepada media arus perdana seperti Media Prima kerana mendukung etika kewartawanan.
Katanya, ia tidak seperti beberapa agensi berita yang sengaja “mencipta” laporan bertujuan mengelirukan dan mencetuskan kemarahan orang awam.
“Berita yang sengaja diwujudkan untuk mengelirukan rakyat mesti diketepikan,” kata Zahid yang juga menteri dalam negeri.
Media arus perdana yang amalkan “kesederhanaan” dalam laporan mereka yang “bertanggungjawab” hendaklah disokong agensi kerajaan dan berkaitan kerajaan (GLC) agar mereka mampu bertahan walaupun wujud cabaran hari ini, tambahnya. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.