`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Saturday, January 26, 2019

Kayveas heret JPPM ke mahkamah jika gagal selesai rayuan batal MyPPP

M Kayveas berkata, jika rayuan ditolak, pihaknya tidak mempunyai pilihan selain mengambil tindakan mahkamah.
CAMERON HIGHLANDS: Tan Sri M Kayveas mengaku membuat rayuan kepada Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) membatalkan pendaftaran parti pimpinan beliau, MyPPP.
Beliau berkata, rayuan itu dibuat pada 15 Januari sehari selepas JPPM membatalkan pendaftaran MyPPP.
“Rayuan dibuat pada 15 Januari lalu. Saya buat rayuan secara terus kepada menteri,” katanya ketika ditemui media selepas membuang undi di SMK Sultan Ahmad Shah, di sini, hari ini,
Kayveas berkata, jika rayuan itu ditolak, maka pihaknya tidak mempunyai pilihan selain mengambil tindakan mahkamah.
“Saya tidak salahkan agensi kerajaan, kerana JPPM telah berurusan dengan MyPPP hampir 25 tahun tanpa apa-apa masalah. Ini kali pertama saya terpaksa ambil tindakan.
“Kalau isu ini tidak selesai dengan menteri selepas kita buat rayuan mengikut Seksyen 18, Akta Pendaftar Pertubuhan 1966, kita akan bawa ke mahkamah,” katanya sambil memberitahu, tindakan JPPM menghantar surat kepada kedua-dua kumpulan dalam MyPPP adalah bertentangan dengan undang-undang kerana mendakwa beliau merupakan presiden yang sah.
“Kalau JPPM hantar surat kepada dua-dua pihak (2 kumpulan dalan MyPPP), jadi siapa yang patut buat rayuan, dan menteri akan terima surat daripada pihak mana?” soal beliau
JPPM sebelum ini membatalkan pendaftaran MyPPP, sebuah parti bekas komponen Barisan Nasional (BN), berikutan perpecahan dalaman yang dihadapinya sejak tahun lepas.
Ketua Pengarah JPPM, Masyati Abang Ibrahim memaklumkan keputusan itu melalui surat kepada Kayveas dan Datuk Seri Maglin Dennis D’Cruz yang berebut jawatan presiden parti.
D’Cruz dikatakan mendalangi langkah menyingkirkan Kayveas sebagai presiden tahun lepas, keputusan yang disokong sebulat suara pada mesyuarat agung tahunan MyPPP ke-64 yang diadakan beberapa hari selepas pilihan raya umum Mei tahun lepas.
Kayveas bertegas beliau masih presiden MyPPP yang sah, dan baru-baru ini mengumumkan sokongan kepada calon Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya kecil Cameron Highlands.
Masyati dalam kenyataannya berkata pendaftaran MyPPP dibatalkan selepas mendapati rayuan daripada parti itu tidak mempunyai “sebab-sebab yang cukup”.
Kritik calon BN, PH dari luar kawasan
Dalam perkembangan sama Kayveas turut mengkritik calon parti utama yang bertanding di Cameron Highlands, iaitu BN dan PH kerana kedua-duanya tidak mengundi di situ hari ini.
“Ini satu kesilapan dalam sistem (pilihan raya) kita. Lain kali Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) boleh atur bagaimana calon yang bertanding mesti datang dari komuniti tempat mengundi. Di negara maju, calon datang dari tempat ia bertanding dan boleh mengundi.
“Kalau bawa calon dari tempat lain memang tak guna sebab dia tidak akan sepenuh masa berada di sini, mereka akan habiskan masa di tempat lain. Malangnya sistem kita memang begitu,” katanya.
PRK Cameron Highlands hari ini menyaksikan pertandingan 4 penjuru melibatkan calon PH M Manogaran, calon BN Ramli Md Nor serta 2 calon Bebas iaitu Wong Seng Yee dan Sallehudin Ab Talib.
Daripada 4 calon bertanding hanya Wong layak mengundi dalam PRK kali ini. - FMT

1 comment:

Note: Only a member of this blog may post a comment.