`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, January 11, 2019

Khutbah Jumaat Jakim sokong larangan merokok di restoran

Jakim berkata larangan merokok jelas bertujuan melindungi orang awam terutama golongan bukan perokok terdedah kepada bahaya asap rokok.
PETALING JAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyokong usaha kerajaan mengeluarkan arahan larangan merokok di semua restoran dan premis makanan di negera ini.
Dalam khutbah Jumaatnya hari ini, Jakim berkata Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia ke-37 pada 23 Mac 1995 memutuskan “merokok adalah haram dari pandangan Islam kerana padanya terdapat kemudaratan”.
Muzakarah itu juga memutuskan penggunaan shisha dan rokok elektronik atau vape juga haram yang masing-masing diputuskan pada 17 Julai 2013 dan 21 Disember 2015.
“Pengharaman merokok dibuat berdasarkan 3 sebab utama iaitu merokok membahayakan kesihatan kepada pengguna, mendatangkan kemudaratan kepada orang sekeliling serta alam sekitar dan perbuatan tersebut menjurus kepada pembaziran wang juga masa dan tenaga serta membawa kerugian kepada pengguna.
“Usaha ini jelas sekali bertujuan untuk melindungi orang awam terutama golongan bukan perokok daripada terdedah kepada bahaya asap rokok dan membudayakan amalan tidak merokok dalam kalangan masyarakat Malaysia dengan menghadkan kawasan yang dibenarkan merokok terutama di kawasan tumpuan orang awam,” menurut khutbah itu lagi.
Sebelum ini, Kementerian Kesihatan mengeluarkan arahan larangan merokok di semua restoran dan premis makanan di negara ini berkuatkuasa 1 Januari lalu.
Larangan tersebut meliputi semua restoran sama ada berhawa dingin mahupun tidak berhawa dingin, di kedai kopi, pusat penjaja terbuka dan gerai-gerai jalanan.
Mereka yang didapati merokok di kawasan larangan ini akan dikenakan denda sebanyak RM10,000 manakala restoran yang didapati tidak menguatkuasakan larangan itu akan dikenakan denda RM2,500.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.