Meskipun Sultan Muhammad V sudah turun takhta sebagai Yang Dipertuan Agong, tetapi rakyat di merata-rata nampaknya masih lagi memperkatakan tentang perkahwinan baginda dengan seorang bekas ratu dari Russia.
Keputusan turun takhta ini bukan saja yang pertama kali dalam sejarah negara dan sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini, malah ramai yang percaya ia juga menjadi sebab baginda meletakkan jawatan sebagai Yang Dipertuan Agong.
Lebih menjadi perbualan ialah adanya perkhabaran yang dibawa oleh beberapa media media antarabangsa bahawa isteri baginda itu sedang hamil ketika ini.
Seterusnya, yang turut dibualkan ialah berkaitan undang-undang tubuh negeri Kelantan yang dikatakan memperuntukkan Raja Perempuan Kelantan mesti berbangsa Melayu dan beragama Islam.
Dengan yang demikian, meskipun tiada pengesahan rasmi mengenai perkahwinan tersebut, berdasarkan undang-undang tubuh negeri Kelantan itu dengan sendirinya bermakna Sultan Kelantan terhalang daripada menjadikan isteri baginda itu sebagai Raja Perempuan Kelantan.
Sesungguhnya soal maut, rezeki dan jodoh adalah ketentuan Tuhan yang tiada siapa pun tahu atau dapat menjangka mengenainya.
Tiada siapa tahu seseorang itu akan berkahwin dengan Melayu atau bangsa lain dalam kehidupannya. Begitu dengan jodoh Raja atau Sultan.
Dalam kes perkahwinan Sultan Kelantan itu, di sebalik tiada pengesahan rasmi mengenainya, kerajaan Pas Kelantan seharusnya bertindak lebih ke depan untuk memudahkan hal-hal berkaitan di kemudian hari.
Kerajaan Pas Kelantan yang diketahui umum merupakan kerajaan Islam serta menolak segala bentuk penonjolan bangsa atau assabiyah sepatutnya segera meminda undang-undang tubuh negeri itu dengan hanya meletakkan mesti beragama Islam saja sebagai syarat untuk dibenarkan dilantik sebagai Raja Perempuan.
Undang-undang yang terdapat peruntukan mesti berbangsa Melayu sebagai syarat menjadi Raja Perempuan sebenarnya tidak sesuai dengan kedudukan Islam yang universal dan melangkaui batas-batas bangsa.
Syarat Islam sudah memadai sebenarnya untuk dilantik sebagai Raja Perempuan Kelantan dan keperluan bangsa Melayu itu hendaklah dihapuskan.
Lagi pula, banyak negeri lain di Malaysia tiada pun peruntukan mengenai bangsa Melayu itu sebagai syarat untuk menjadi Raja Perempuan atau Sultanah, malah ada Sultanah ketika ini yang diketahui berasal daripada negara luar dan bukan berbangsa Melayu.
Semua itu tidak menjadi masalah sama sekali dan rakyat tetap menerima kehadiran Sultanah tersebut dengan gembira dan dengan hati yang terbuka. Asal beragama Islam sudah memadai dan rakyat faham soal jodoh adalah ketentuan Tuhan.
Tambahan pula, tidak wajar kerajaan negeri pimpinan Pas mengekalkan lagi undang-undang yang seolah-olah mengikat jodoh Sultan dengan hanya mesti berkahwin dengan gadis berketurunan Melayu semata-mata, sedangkan dalam waktu yang sama kita percaya bahawa jodoh, ajal dan rezeki adalah ketentuan Tuhan yang di luar kawalan manusia menentukannya.
Lebih daripada itu, dengan sedia meminda undang-undang tersebut juga memperlihatkan kerajaan Pas Kelantan benar-benar ada perasan kasih, sayang dan menjunjung kedaulatan Sultan Kelantan sebagai ketua negeri tersebut.
Dengan adanya pindaan demikian, meskipun perkahwinan adalah hak peribadi Sultan atau Raja, tetapi kiranya di suatu masa nanti baginda sedia untuk membuat pengumuman rasmi mengenainya, makanya soal untuk menjadikan suri hati baginda itu sebagai Raja Perempuan Kelantan tidak akan menimbulkan apa-apa masalah lagi.
Kepada Pas Kelantan, tidak bolehkah dipercepatkan pindaan perlembagaan negeri itu?
– http://shahbudindotcom.blogspot.com
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.