PETALING JAYA: Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) “paranoid melampau” kerana menganjurkan persidangan pada hujung bulan ini bagi membantah pengenalan Jawi di sekolah vernakular meskipun kerajaan sudah mengurangkannya kepada 3 muka surat sahaja.
Ketua Pemuda, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim berkata Dong Zong gagal menghargai keterbukaan Kementerian Pendidikan dalam isu itu, selepas kementerian memberikan kelonggaran dan fleksibiliti terhadap pembelajaran pengenalan Jawi.
“Tindakan Dong Zong ini satu sikap kurang matang, tidak patriotik dan paranoid melampau yang boleh mengundang rasa kurang senang pihak lain,” katanya dalam kenyataan.
Persidangan itu dilaporkan akan dianjurkan pada 28 Dis ini, bagi membantah pengenalan Jawi kerana ia bertentangan dengan keputusan Kabinet dan Dokumen Standard Kurikulum Dan Pentaksiran (DSKP).
Pemuda Amanah berkata pengenalan Jawi harus dilihat sebagai satu bentuk perluasan ilmu pengetahuan, bukan untuk melunturkan identiti mana-mana kaum.
“Sekiranya persidangan ini diteruskan dengan hanya memberi fokus kepada bantahan semata-mata, ia akan menimbulkan salah faham dan keadaan ini juga berpotensi diheret kepada isu perkauman,” katanya.
Pemuda Amanah menyarankan Dong Zong mengubah objektif persidangan kepada sesi penerangan dan perkongsian pendapat bagi menjelaskan kedudukan sebenar isu tersebut.
“Kami ingin menasihatkan Dong Zong agar lebih rasional dalam menangani isu ini dan meneruskan usaha mencari titik penyelesaian yang lebih harmoni untuk membawa agenda kemakmuran bersama dalam aspek pendidikan,” katanya.
Kabinet pada Ogos mengekalkan keputusan pembelajaran Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu kepada murid Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tahun 4 tahun depan dengan persetujuan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta ibu bapa. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.