`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, December 12, 2019

Kumpulan Pro Anwar Desak Azmin, Zuraida Dipecat Dari PKR

(FMT) – Kumpulan pro Anwar Ibrahim hari ini mendesak Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali dan Naib Presiden Zuraida Kamaruddin serta 5 pemimpin lain dipecat atau digantung kerana melanggar disiplin parti dan menghina Anwar.
Mereka terutamanya menyasarkan Zuraida, yang didakwa mengaibkan Anwar dalam ucapannya di satu majlis makan malam di ibu negara selepas kongres nasional tahunan PKR pada Ahad.
“Kami juga mendesak PKR menuntut perdana menteri supaya menggugurkan segera Zuraida sebagai menteri Kabinet kerana kebiadapan melampau beliau serta sikap ‘ingkar’ kepada pucuk pimpinan,” kata Pengerusi Otai Reformis 98, Idris Ahmad pada sidang media di ibu pejabat PKR hari ini.
Turut menyertai sidang media itu ialah Jingga 13, Pertubuhan Solidariti Madani Malaysia (MaSSA) dan Anak Reformasi.
Lima pemimpin PKR lain yang dimaksudkan adalah Naib Presiden Tian Chua; Ketua Wanita Haniza Talha; Timbalan Ketua Pemuda Hilman Idham; Pengerusi Selangor, Amirudin Shari; dan Timbalan Ketua Bahagian Permatang Pauh, Afif Bahardin.
“Kami juga menggesa tindakan disiplin dengan menggantung keanggotaan atau memecat keanggotaan beberapa pemimpin yang ingkar dan ketidakpatuhan mereka terhadap pucuk pimpinan parti, ekoran tindakan sabotaj mereka secara sengaja meninggalkan kongres di Melaka minggu lepas tanpa sebarang alasan munasabah,” katanya.
Kumpulan itu berkata tindakan mereka mencemarkan imej dan reputasi kerajaan Pakatan Harapan di mata rakyat, dan meminta Anwar tegas bertindak terhadap pemimpin parti yang melanggar disiplin.
Terdahulu, kira-kira 50 pengikut kumpulan berkenaan menyerahkan memorandum kepada PKR. Dokumen itu diterima pembantu peribadi kepada Setiausaha Agung Saifuddin Nasution Ismail.
Majlis makan malam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 itu menyaksikan Zuraida bersama Azmin menyampaikan ucapan yang berapi-api dan menempelak beberapa individu dalam PKR.
Kongres yang diadakan ditengah-tengah perselisihan antara Azmin dan Anwar itu dicemari kejadian pergaduhan dan rasa tidak puas hati Azmin dan sekutu beliau terhadap dengan kandungan ucapan perwakilan.
Pada Selasa, Ketua Penerangan Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata beliau akan mencadangkan tindakan tegas dan keras terhadap Zuraida berhubung kenyataannya pada majlis makan malam itu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.