PETALING JAYA: Wanita PKR menepis desakan kumpulan pro Anwar Ibrahim hari ini yang mahu tindakan diambil terhadap Timbalan Presiden Mohamed Azmin Ali dan Naib Presiden Zuraida Kamaruddin serta 5 pemimpin lain atas dakwaan melanggar disiplin parti dan menghina Anwar.
Naib Ketua Juwairiya Zulkifli berkata kumpulan seperti Otai Reformis 98 hanyalah sekadar badan bukan kerajaan dan tidak mewakili ahli atau pemimpin partinya.
Beliau menambah pemecatan hanya akan mengeruhkan keadaan dan memecahkan perpaduan dalam kalangan ahli parti, mengingatkan pemimpin-pemimpin berkenaan serta pengikut masing-masing masih setia kepada parti.
“Pimpinan pusat, khususnya presiden, wajar berikan ruang di meja rundingan untuk menyelesaikan konflik yang berlarutan ini,” katanya kepada FMT.
Ketua Penerangan, Syarul Ema Rena Abu Samah pula menganggap Otai Reformis “pihak luar” yang cuba mengeruhkan keadaan bagi mendapat nama “hero”.
Beliau berkata tindakan mereka secara tidak sengaja memburukkan nama Anwar.
“Ada pengikutnya ahli Parti Sosialis Malaysia, sepatutnya mereka uruskan PSM dulu sebelum nak sibuk soal parti orang lain,” katanya kepada FMT.
Otai Reformis 98, bersama Jingga 13, Pertubuhan Solidariti Madani Malaysia (MASSA) dan Anak Reformasi hari ini mahu Anwar bertindak tegas terhadap pemimpin parti yang melanggar disiplin, terutamanya Zuraida, yang didakwa mengaibkan Anwar dalam ucapannya di satu majlis makan malam pada Ahad.
Selain Azmin dan Zuraida, pemimpin lain yang jadi sasaran adalah Naib Presiden Tian Chua; Ketua Wanita Haniza Talha; Timbalan Ketua Pemuda Hilman Idham; Pengerusi Selangor, Amirudin Shari; dan Timbalan Ketua Bahagian Permatang Pauh, Afif Bahardin.
FMT sedang mendapat komen pemimpin PKR berkenaan. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.