`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, June 21, 2020

Exco Selangor bimbang isu calon PM jejas kerajaan negeri pimpinan PH

Haniza Talha berkata, perbezaan pandangan antara parti komponen PH akan mengubah pendirian dan susunan di peringkat kerajaan negeri menyebabkan ketidakstabilan berlaku dengan fokus utama dan usaha pembangunan tergendala.
PETALING JAYA: Exco Selangor dan Adun Lembah Jaya, Haniza Talha bimbang isu pencalonan perdana menteri dalam Pakatan Harapan (PH) akan menjejaskan pentadbiran di peringkat kerajaan negeri.
Ketua Wanita PKR itu yang digantung keahliannya oleh parti sejak 6 April lalu berkata, pentadbiran kerajaan negeri pimpinan PH seperti Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan akan tergendala apabila tiada kepercayaan antara sekutu gabungan itu.
“Perbezaan pandangan di peringkat pusat sudah pasti akan mengubah pendirian dan susunan di peringkat kerajaan negeri.
“Ketidakstabilan akan berlaku dan fokus utama, usaha pembangunan untuk rakyat akan terbantut dan tergendala,” katanya kepada FMT.
FMT sebelum ini melaporkan PH sedia mengembalikan Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri, tetapi kali ini dengan Anwar Ibrahim sebagai timbalannya, walaupun kedua-dua pemimpin itu bergelut menunjukkan mereka mempunyai majoriti sokongan ahli Parlimen di Dewan Rakyat.
PH dikatakan bersetuju Mahathir akan berkhidmat “sehingga akhir tahun”, dengan satu perjanjian “hitam putih” ditandatangani untuk menyerahkan kuasa kepada Anwar.
Bagaimanapun, PKR kemudiannya berbalah dengan Amanah dan DAP selepas 2 parti komponen PH itu menyokong Mahathir sebagai calon perdana menteri gabungan itu jika ia berjaya membentuk kerajaan semula menerusi undi tidak percaya di Dewan Rakyat.
Pimpinan Amanah dan DAP dilaporkan berkata, ketika mereka menyokong Anwar sebagai calon perdana menteri, presiden PKR itu gagal meraih sokongan mencukupi untuk mengambil alih kerajaan menyebabkan mereka memilih Mahathir sebagai pilihan kedua.
Ditanya jika PKR patut meninggalkan PH kerana Amanah dan DAP menolak pencalonan Anwar sebagai perdana menteri, Haniza berkata, matlamat sekutu gabungan itu perlu jelas supaya tiada perbezaan dalam keputusan mereka.
Katanya, PH perlu kembali kepada landasan asal perjuangannya dengan memfokuskan usaha membela nasib rakyat.
“Fokus kepada rakyat yang dihimpit tekanan ekonomi, perubahan norma hidup setelah pandemik Covid-19, bagaimana kita mampu meredakan tekanan ini dan dapat meneruskan hidup. Tumpukan membina hubungan baik dengan rakan-rakan (sekutu) dan rakyat.”
Sementara itu, Adun Sungai Acheh daripada PKR, Zulkifli Ibrahim menyifatkan tindakan Amanah dan DAP menolak pencalonan Anwar sebagai perdana menteri ialah pengkhianatan kepada PKR.
Beliau dalam catatan di Facebook semalam, menggesa PKR keluar daripada kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP.
Beliau turut menggesa Adun Amanah dan DAP disingkirkan daripada kerajaan Selangor serta Negeri Sembilan kerana 2 parti itu “mengkhianati” Anwar. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.