KUALA LUMPUR: Enam kakitangan sebuah syarikat pelancongan membuat laporan polis terhadap majikan mereka yang didakwa tidak melunaskan bayaran gaji sejak Mac lalu dan tidak membuat caruman pekerja sejak setahun lepas.
Setiausaha agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) J Solomon yang mewakili pekerja berkenaan berkata, majikan terbabit juga sehingga ke hari ini masih berdiam diri apabila ditanya oleh pekerja tentang status pekerjaan mereka.
“Sejak 2019 majikan tidak membuat caruman kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“Bahkan pada Mac, majikan hanya membayar gaji RM400 sahaja dan ada pekerja yang tidak dibayar gaji langsung.
“Salah seorang pekerja bertanya tentang status pekerjaan mereka, tetapi pada sebelah petangnya dia menerima kiriman mesej bahawa perkhidmatannya sudah ditamatkan tanpa sebarang alasan.
“Manakala baki pekerja yang turut bertanya tentang status pekerjaan masing-masing tidak menerima maklum balas daripada majikan,” katanya sewaktu ditemui pemberita selepas membuat laporan polis di Balai Polis Travers di sini, hari ini.
Beliau berkata, sikap dan tindakan majikan itu menyebabkan pekerja menjadi mangsa dan mereka tidak layak menerima Skim Insurans Pekerja (SIP) yang diperkenalkan oleh Putrajaya bagi individu yang hilang pekerjaan.
Solomon berkata, keadaan menjadi semakin buruk apabila majikan juga mengugut pekerja selepas mereka melaporkan masalah yang dihadapi kepada Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung, Perkeso dan KWSP.
“Pekerja diugut dan majikan turut memaklumkan akan membuat laporan polis terhadap mereka. Pekerja bingung, kenapakah mereka pula yang diugut sedangkan majikan tidak berlaku adil.
“Disebabkan itu pekerja datang membuat laporan polis, selain menuntut keadilan buat diri mereka. Mereka juga mahu memastikan keselamatan diri terjamin dan tidak dituduh dengan sebarang tuduhan,” katanya.
Salah seorang pekerja, Annadass Michael, 49 yang bertugas sebagai pemandu pelancong berkata, sehingga ke hari ini beliau buntu dengan status pekerjaannya walaupun masih memegang amanah majikan untuk menjaga kenderaan milik syarikat.
“Sebagai pembantu pengurus saya selalu bertanya kepada majikan mengenai isu gaji rakan sekerja yang lain. Tetapi majikan pula persoalkan siapakah saya untuk bertanya sedemikian. Itulah cara mereka melayan kami selama ini.
“Kenderaan milik syarikat yang kami bawa sebelum ini tidak mempunyai cukai jalan dan insurans, bahkan ada di antaranya memiliki cukai jalan tidak sama dengan nombor pendaftaran kenderaan.
“Apabila saya beritahu majikan perkara ini, mereka berkata, ‘jika mahu bekerja teruskan dan jika tidak mahu bekerja serahkan kunci’,” katanya.
Annadass berkata, lebih memilukan apabila majikan lebih rela mengekalkan pekerja warganegara asing yang tidak mempunyai permit sah, berbanding pekerja tempatan sedia ada.
“Syarikat mengekalkan pekerja asing warganegara India yang tidak mempunyai visa dan permit bekerja. Bahkan pekerja asing itu dibayar gaji lebih tinggi berbanding pekerja tempatan,” katanya.
Manakala itu, seorang lagi pekerja Tho Kiet Ling, 27, yang bertugas sebagai pengurus memberitahu bahawa beliau diberhentikan kerja serta-merta tanpa alasan melalui e-mel pada 4 Mei lalu.
Beliau juga menerima nasib sama dengan pekerja lain yang menerima gaji RM400 sejak Mac. Majikan turut tidak mencarum kepada Perkeso dan KWSP. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.