`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, June 4, 2020

Perkauman yang dibayar



Doha, hujung 2018
Dia sedang menuju ke penghujung Doha Corniche. Dia dibawa dalam sebuah limusin melepasi Pelabuhan Hamad. Memang ada pelbagai rasa bercampur dalam jiwa, bergalau. Dari Doha, selalunya ada pelayaran bergaya makan seminggu menuju ke Abu Dhabi sambil menyinggah di Pulau Sir Bani Yas.
Akan tetapi dalam 2 jam kemudian, dia sudah berada dalam sebuah kapal layar mewah terapung di perairan antarabangsa. Lelaki tersebut, seorang kenamaan membawanya jauh ke tengah samudera untuk berbual-bual. Akan tetapi intinya satu, kerajaan akan dijatuhkan, dan mereka seharusnya berjaga-jaga.
Kuasa asing itu, menurut lelaki itu, mempunyai pengalaman mencampuri urusan negara lain. Soal wang memang “khalas”, akan dan telah, mulai dicurahkan. Ia akan membiayai kempen membakar perkauman di dalam talian; dan di dunia nyata, agar semua mendidih. Demikian kata orang kenamaan itu.
Wang besar itu juga akan membolehkan pembiayaan askar siber di media sosial, dalam kalangan “agamawan+g”, portal berita tertentu, dan blogger berpengaruh. Juga untuk dipancutkan kepada badan bukan kerajaan sekian-sekian agar semua lecak dengan duit. Objektifnya hanya satu, untuk menjatuhkan kerajaan.
Bayu lembut di laut luar Doha itu membawa rasa asin yang menyengat dan melekat menggigit di wajahnya untuk beberapa lama. Ingatan orang kenamaan itu dipandang enteng. Kerana sangkaan mereka, tapak demokrasi di tanahair sungguh kukuh.
Karangan ini fiksi belaka. Tetapi ingatan sebahagiannya adalah amanah.
Kuala Lumpur, hujung 2019
Perdana menteri yang sah, Dr Mahathir Mohamad menyatakan solidariti beberapa negara umat Islam yang diundang ke persidangan antarabangsa – KL Summit 2019 – melibatkan Malaysia, Qatar, Iran, dan Turki (tanpa Pakistan) diharap dapat menerokai jalan kekuatan dan menampung kelemahan sesama negara umat Islam berpengaruh. Lapan belas perjanjian antara Malaysia, Turki, dan Qatar.
Ketika itu dalam negara ciptaan, wang besar yang ditaburkan untuk mendanai kempen perkauman sudah lama terjerang, sudah membuak menolak penutup cerek pengkhianatan meneriak-neriak.
Ia air panas yang menggelegak; rangkuman rasisme, sektarianisme, ketuanan bangsa peribumi mengatasi bangsa yang dimomokkan pendatang, xenofobia; bersatu dengan ketidakcekatan serta kegagalan komunikasi kerajaan tatkala itu menyediakan pelbagai kemungkinan.
Dia sudah sedar akan ingatan orang kenamaan itu. Namun demikian dia tidak begitu mengendahkan kerana dalam kepalanya “tapak demokrasi di tanahair sudah kukuh”.
Dia tidak menyangka ada juga nafsu dan kemabukan sedang meracuni benak sekumpulan politikus.
Ia bakal menjadi badai sempurna. Karangan ini fiksi belaka. Tetapi ingatan sebahagiannya adalah amanah.
Singapura, awal Feb 2020
Saya sedang menilik keadaan di tanah air. Perkauman. Ia, perkauman bukan sebenar penyakit melainkan suatu gejala yang menyerang tubuh masyarakat kerana antara lain lemahnya hak asasi manusia. Kelonggaran aspek ini selalunya terkait dengan demokrasi yang belum cukup subur dan ketelusan yang belum benar-benar jernih. Terdapat kekeruhan di sana sini. Maka perkauman berbayar akan mudah lolos.
Dalam ilmu sosial, rasa istimewa pada sesuatu kaum selalunya natijah rasa rendah diri, kesulitan memahami cabaran masa hadapan, dan terputusnya dari sejarah yang benar. Maka kuasa asing boleh membeli itu semua.
Pertama, membeli rasa rendah diri dengan memupuk sebanyaknya rasa kalah dan terhempuk berbanding bangsa lain. Kedua, meletakkan kekaburan pada masa hadapan kononnya jika tidak ditolongkan, mereka akan keciciran. Ketiga, dana besar untuk mengacau dan membolak-balikkan sejarah yang benar sehingga anak watan diperdayakan.
Perkauman diburukkan lagi saat sesuatu kaum itu dilekatkan dengan agama tertentu. Ia memberi kesan “paling benar” yakni paling absah atau paling bersyurga. Sedangkan syurga dicipta Tuhan untuk semua orang baik; tanpa mengira kaum, jantina, dan status. Makanya, kaum yang terasa paling tulen, ditambah agama yang diyakini benar meletakkan semangat perkauman di hadapan.
Perkauman adalah ketidakadilan. Saya masih ingat kata-kata hikmah Saidina Ali termuat dalam Ghurar al-Hikam nombor 9534 berbunyi; “Tiada yang dapat menyuburkan sesebuah nusa sepertinya keadilan”. Jika negara sedang adil, perkauman berbayar tidak akan dapat membeli anak watan.
Perkauman berbayar. Semua itu bergumul menjadi badai sempurna di saat ada yang akan menggunakannya untuk menjadi satu ramuan kemusnahan. Ia menjadi satu gugatan dan ancaman supaya jangan ada yang mencabar dan dengan curahan wang asing yang besar, ia bahan-bahan untuk menyalakan api marak yang boleh menyambar.
Ia pernah dilakukan di Lubnan, di Iraq, dan dengan formula berlainan dilakukan di Mesir, untuk dilakukan di Kuala Lumpur.
Di Singapura, saya bertemu dengan seorang teman. Dia bilang orang Melayu di Malaysia baik dan santun. Dia juga bilang orang Melayu memberi banyak sehingga kadang dipijak. Orang Melayu misalnya membenarkan sekolah vernakular. Hujahnya lagi ada ramai hartawan dalam kalangan bangsa Cina dan India, maka kata teman saya – tiada perkauman di Malaysia.
Teman saya itu, di Singapura – orang Geylang – sudah ikut basah dek tempias wacana perkauman yang lencun di seberang Koswei. Saya menjelaskan; “Melayu santun hujah untuk menunjukkan Melayu itu santun, hujah untuk menunjukkan sifat yang baik pada bangsa Melayu. Bukan hujah untuk tiada berlakunya perkauman. Hujah Melayu santun untuk menolak adanya perkauman di tanahair satu falasi”.
Kita tidak dapat berhujah tiada perkauman di Amerika Syarikat kerana Barack Obama seorang kulit hitam pernah jadi presiden. Kita juga tidak berhujah perkara kecil untuk benda besar.
Katakan, ada beberapa pelakon kulit hitam meraih Oscar justeru hujahnya tiada perkauman di Hollywood. Jadi kita tidak hujahkan dengan menyenaraikan 5-6 orang Cina, India hartawan untuk menggambarkan tiada perkauman di peringkat murbawan.
Hujah ada ramai orang Cina, India (dan Melayu) kaya sepatutnya digunakan untuk menunjukkan adanya jurang kelas. Itu hujah jurang kelas. Bukan hujah untuk menafikan konon ada perkauman.
Seperti mana sekolah dengan bahasa ibunda hujah dalam sektor pendidikan dan hak asasi manusia, bukan untuk dihujahkan dalam isu perkauman.
Ada sebuah kelab di alam maya semacam situs atau blog yang mungkin sahaja mendapat wang besar dana asing dari sebuah negara yang kerjanya antara lain mengipas perkauman. Ia bermain dengan pelbagai naratif sejarah. Maka orang seperti teman saya itu ikut percaya. Dia percaya penuh.
Padahal perkauman bukan untuk diyakini. Seorang yang percaya pada naratif perkauman adalah seorang yang ditumpaskan kewarasan akalnya. Perkauman hanya menghinggapi mereka yang buntu dan bantut di benak sehingga terbuntut apa sahaja dengan kebohongan.
Apa yang paling menakutkan ialah perkauman tidak dapat dikalahkan di kotak undi. Malah menitik bahang perkauman akan membolehkan kumpulan fasis tertentu beroleh kuasa. Karangan ini fiksi belaka. Tetapi ingatan sebahagiannya adalah amanah.
Petaling Jaya, hujung Feb 2020
Bekas naib presiden Amerika Syarikat yang ke-33, Henry A Wallace pernah memberikan definisi fasisme. Ia disebut-sebut begini; “Seorang fasis seseorang yang berahikan duit atau kuasa dan digabungkan dengan sikap tidak tolak ansur yang tepu terhadap bangsa lain, parti lain, kelas lain, kepercayaan agama lain sehingga menjadikan ia tiada rasa belas untuk melakukan muslihat helah atau keganasan untuk mencapai matlamat akhir. Tuhan golongan fasis yang mendorong mereka sama ada kepada duit atau kuasa ini, adalah bangsa atau kelas, kesetiakawanan militari atau kumpulan ekonomi tertentu; boleh jadi juga budaya, agama atau parti politik”.
Di sebuah negeri ciptaan, ada sebuah kesatuan atas nama Sunnah yang dibayari dan didanai oleh seorang politikus khianat. “Agamawan+g” atas nama Sunnah ini masuk ke masjid dan bertongkat di mimbar.
Kebanyakannya graduan dari sebuah universiti tertentu. Mereka menyebar antara lain doktrin “ulil amri minkum”, satu gagasan yang diselewengkan sejak pertikaian di medan Siffin ribuan tahun lampau. Politikus ini menyelinap sebagai kuda trojan dan berhasil memporak perandakan parti yang baru disertainya.
Masyarakat yang dilutu perkauman, dengan kepercayaan hanya agamanya sahaja bersyurga, dan telah basah nikmat dongengan rasisme tidak lagi menolak apa yang digempur dan digembur di atas paha dan kepala mereka. “Agamawan+g” yang sedia populis di surau dan masjid dan bekerja di media sosial dengan segera mengukuhkan keyakinan masyarakat beragama.
Agama menjadi tenaga kebencian dan bukan kasih sayang.
Sekarang barulah dia tahu dan percaya benar apa yang disampaikan kepadanya di atas kapal layar mewah di permukaan air antarabangsa. Bahawa kata-kata ingatan orang kenamaan itu yang tersangka khayal kini menampakkan bayang-bayang nyata yang menjeblos demokrasi yang belum sempat kukuh. Karangan ini fiksi belaka. Tetapi ingatan sebahagiannya adalah amanah.
Menyemai perkauman kini dapat dituai. Kerajaan pilihan rakyat jatuh.
Putrajaya, Jun 2020
Negara harus dibezakan dengan bangsa. Negara harus dibezakan dengan pemerintah. Karangan ini fiksi belaka. Tetapi ingatan sebahagiannya adalah amanah.
Ini kerana pemerintah dari aneka parti politik akan muncul, dan beredar. Pemerintah dipilih dan dibuang. Negara akan kekal. Hanya negara yang diizinkan mencetak wang, yang diizinkan menghukum dan mengadili kita, yang diizinkan mencukai rakyat. Bukan pemerintah.
Mereka hanya wakil negara. Sekadar wakil yang boleh kita tukarkan. Pemerintah itu ibarat enjin, kapal atau nakhoda di perairan antarabangsa. Boleh ditukar dan diadili rakyat.
Negara adalah rakyat. Rakyat adalah negara. Kita tahu negara bukan pelanunan. Negara tidak harus dapat dijual dan dibeli dengan wang perkauman. Pun, apa yang paling menakutkan ialah perkauman tidak dapat dikalahkan di kotak undi. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.