KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Annuar Musa memohon maaf atas keterlanjuran Pemuda parti itu mengeluarkan sorakan “boo” Pemuda PPBM dalam satu majlis di Tanjung Malim, Perak semalam.
Beliau berharap perkara itu tidak berulang dan berterima kasih kepada Pemuda PPBM Perak yang tidak mengambil hati terhadap perbuatan itu.
“Saya ucap terima kasih pada Pemuda PPBM Perak, bila ditanya berlaku peristiwa itu, dia beri satu jawapan yang matang.
“Ini semangat kita mahu lihat. Saya bangga anak-anak muda sudah sampai tahap politik sebegitu,” katanya selepas majlis menyerahkan lesen kepada peniaga kecil di Batu Muda hari ini.
Semalam, Pemuda PPBM diboo berulang kali pada majlis pelancaran jentera Pemuda BN sempena Pilihan Raya Kecil Slim di Perak.
Ia berlaku ketika Ketua Pemuda BN, Asyraf Wajdi Dusuki memperkenalkan barisan Pemuda parti yang menghadiri majlis itu yang turut disertai Pemuda PAS dan PPBM, serta sekali lagi ketika Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi menyebut nama sayap itu dalam majlis sama.
Bagaimanapun, Ketua Pemuda PPBM Perak, Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh dilaporkan berkata, beliau tidak mengambil hati terhadap perbuatan itu.
Annuar tidak menolak kemungkinan kejadian itu berlaku akibat pengaruh suasana ketika majlis itu berlangsung.
“Mungkin kerana suasana ‘gallery’ dan ada yang ‘play to the gallery’.
“Kita harap dapat lupakan peristiwa itu. Kita akan kerja bawah Muafakat Nasional yang lebih perkasa.” - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.