PETALING JAYA: Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Mohd Puad Zarkashi berkata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Mohd Khairuddin Aman Razali sepatutnya didakwa di mahkamah atas kesalahan melanggar perintah kuarantin selama 14 hari.
Katanya, jumlah kompaun RM1,000 yang dikenakan terhadap Khairuddin juga terlalu rendah dan amat tidak adil selain mempersoalkan mengapa Kementerian Kesihatan (KKM) bersikap “double standard” dalam kes itu.
“Dia menteri, berpendidikan tinggi, berjawatan dalam parti dan dia seorang Islamis. Kenapa sanggup langgar peraturan?
“Dia sanggup pulangkan gaji 4 bulan. Itu bukan sikit. Itu bukti dia sendiri mengaku kesalahannya amat berat dan memalukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
“Ada 2 isu besar di sini. Pertama melanggar peraturan kuarantin 14 hari bagi yang baru pulang dari luar negara. Kedua, jumlah kompaun ikut suka hati aku,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, berikutan kes itu kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan menerima tempias dan dituduh ada campur tangan politik serta tidak boleh diharap.
“Sebab itu jangan gunakan KKM untuk ‘cover line’. Khairuddin patut didakwa di Mahkamah,” katanya.
KKM dalam kenyataan hari ini berkata, Khairuddin dikompaun RM1,000 selepas didapati melakukan kesalahan bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No.7) 2020, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342).
Sebelum ini, Khairuddin menjadi sasaran kritikan pembangkang apabila dikatakan tidak menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari selepas pulang dari Turki pada 7 Julai lalu.
Kenyataan itu turut memaklumkan Khairuddin menjelaskan kompaun yang dikenakan terhadapnya itu pada 7 Ogos lalu.
Hari ini Khairuddin memohon maaf kepada rakyat Malaysia berikutan kegagalan mematuhi peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP).
Beliau juga akan memulangkan gaji sebagai menteri bagi Mei hingga Ogos, sebagai sumbangan kepada Tabung Bantuan Bencana Negara (Tabung Covid-19). - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.