`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, August 28, 2020

Lebih 600 petugas SPR kendali PRK Slim esok

SPR menyasarkan 85% daripada 22,749 pengundi biasa keluar mengundi dalam PRK DUN Slim esok, berbanding sasaran 70% sebelum ini berdasarkan prosedur operasi standard ditetapkan bagi mencegah penularan Covid-19. (Gambar Bernama)
TANJUNG MALIM: Seramai 689 petugas dilantik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mengendalikan proses pengundian pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim esok, yang melibatkan 12 pusat mengundi dan 54 saluran, kata Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh.
Pusat mengundi tersebut ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Sulaiman; SK Trolak Utara; SK Trolak Selatan; SK Seri Besout; SK Besout 3 dan 5; SK Kuala Slim; SK Slim River; SK Aminudin Baki; Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Sungkai; SJKT Ladang Kelapa Bali dan SJKT Trolak.
Abdul Ghani berkata, pihaknya berharap keputusan PRK itu dapat diketahui sebelum 9 malam sekiranya tiada bantahan dan gangguan.
Beliau berkata, pihaknya menyasarkan 85% daripada 22,749 pengundi biasa keluar mengundi esok, berbanding sasaran 70% sebelum ini dengan mengikut peraturan serta prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi mencegah penularan Covid-19.
Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh.
“Ini (patuh SOP) supaya keselamatan diri dan keluarga terjamin kerana kita masih berada dalam musim PKP (perintah kawalan pergerakan).
“Kita takut nanti pengundi apabila pulang, membawa masalah kepada keluarga masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas melawat pusat perjumlahan undi di Dewan Sri Tanjung, Majlis Daerah Tanjung Malim di sini, hari ini.
Pada masa sama, Abdul Ghani turut mengingatkan pengundi supaya mematuhi peraturan seperti tidak berpakaian yang melambangkan mana-mana parti politik kerana boleh dihalang daripada memasuki pusat mengundi serta dikenakan tindakan.
PRK DUN Slim menyaksikan pertandingan 3 penjuru antara calon Barisan Nasional, Mohd Zaidi Aziz dengan 2 calon Bebas iaitu peguam, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, mewakili Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) yang masih dalam proses pendaftaran serta bekas guru, S Santharasekaran.
Kerusi DUN Slim kosong berikutan kematian ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Slim selama 4 penggal, Mohd Khusairi Abdul Talib daripada BN akibat serangan sakit jantung pada 15 Julai.
Sejumlah 96.25% daripada 267 pengundi awal telah menunaikan hak mereka pada Selasa lalu.
Dalam pada itu, setiausaha SPR Ikmalrudin Ishak dalam kenyataan mengingatkan semua parti atau calon bertanding, bahawa mereka dilarang membuka, membina atau menyelenggara pejabat dan barung semasa hari mengundi.
“Tiada mana-mana pihak yang boleh merayu undi, termasuklah di luar pusat mengundi dan juga melalui saluran media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan lain-lain,’’ katanya menjelaskan tempoh rasmi berkempen akan tamat pada 11.59 malam ini. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.