KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata semangat dan pengajaran Maal Hijrah memberi kekuatan kepada rakyat dalam mendepani cabaran pandemik Covid-19 dan usaha memulihkan ekonomi negara.
Muhyiddin dalam 1 hantaran menerusi laman Facebook rasminya hari ini menitipkan kata semangat itu susulan sambutan Maal Hijrah tahun ini dirai dalam suasana ancaman jangkitan Covid-19 yang belum berakhir.
“Pada tahun ini, kita meraikan sambutan Maal Hijrah dalam tempoh perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) yang dijangka tamat pada 31 Ogos 2020.
“Sambutan tahun ini mungkin tidak sama seperti tahun sebelumnya, namun semangat dan pengajarannya tetap memberikan kita kekuatan khususnya dalam mendepani cabaran wabak Covid-19 yang masih belum berakhir dan usaha memulihkan ekonomi negara,” katanya dalam hantaran itu.
Sambil mengucapkan selamat menyambut Maal Hijrah kepada semua umat Islam negara ini, Muhyiddin juga mendoakan rakyat dapat mengambil iktibar dan semangat hijrah Rasulullah dengan sebaik-baiknya.
“Ummah Rabbani Negara Harmoni” menjadi tema majlis sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1442H/2020M yang berlangsung di Masjid Negara malam ini.
Muhyiddin berkata, tema itu memberi penekanan kepada pembangunan negara yang seiring dengan konsep “Baldatun Toyyibatun Wa Rabbun Ghafur”, iaitu Negara Baik yang mendapat Pengampunan Tuhan.
“Pendekatan ini menekankan niat mencari keredaan Allah sebagai matlamat utama dalam mengekalkan negara kita sebagai negara maju, aman dan harmoni,” katanya.
Muhyiddin juga mengucapkan terima kasih kepada mereka yang memberi idea dan sumbangan kepada pembangunan Islam serta negara.
Beliau turut menzahirkan tahniah dan terima kasih kepada tokoh Maal Hijrah yang dipilih tahun ini atas sumbangan dan bakti mereka dalam menegakkan syiar Islam. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.