`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, August 6, 2020

Sumandak bernama Sabah



Seperti sumandak jelita. Kebetulan namanya Sabah.
Sabah? Saya bertanya dengan tawa ringan. Sabah, dengan erti “pagi” seperti kata bahasa Arab. Atau Sabah seperti sebuah negeri?
Sabah membalas kembali dengan tawa halus. Begitu yakin tetapi manja dia menjawab, “Sabah yang diingini semua”. Saya menelan liur, Sabah yang dihajati siapa?
Mata saya terkerlip penuh perhatian. Entah mengapa kata-kata “Sabah yang diingini semua” itu menggetarkan dada. Tidak ramai rakyat tahu Sabah begitu menggiurkan sehingga pada 18 September 1968, Marcos si presiden Filipina menandatangani Bil Senat 954 dengan kenyataan: “The Republic of the Philippines has acquired dominion and sovereignty over Sabah”. Sungguh, mereka tidak henti menggoda Sabah. Bahkan pada 20 Januari 1962, Manila Free Press mengumumkan dengan nekad; “North Borneo Is Ours”.
Demikian kurang ajar.
Sabah umpama Sudetenland untuk Jerman, seibarat Manchuria untuk Jepun. Sudah bukan milik lagi, tetapi kadang terpanggil-panggil ayu dan liuk ria. Jadi Sabah seolah-olah merayu-rayu untuk ditagih, dan menagihi Sabah sehingga merayu-rayu.
Pun, minggu ini, nama Sabah bergema lagi dalam telinga saya; melanda gegendang.
Saya sedang menanti bas untuk pulang ke rumah dari kota Melaka sehari sebelum Aidiladha. Sungguh saya tiada keruan membaca berita dari Kota Kinabalu. Rombongan ke Istana Negeri itu di hadapannya Range Rover, berturutan Vellfire hitam beberapa buah sebelum diusir agar beredar. Dewan Undangan Negeri sudah pun bubar.
Seorang ustaz yang kebetulan duduk di sisi (dia memperkenalkan diri sebagai seorang ustaz) asyik menatap klip video tersebut. Dia mengangkat muka dan memandang saya dengan sengih lebar menyebar bau busuk mulutnya yang tidak ditutup pelitup muka; “Sabah” katanya sepatah; seakan-akan begitu berahi.
Dia menatap klip video itu cermat. Gesit terlompat dari kelopak bibirnya, seraya menuturkan begini; “Fuh kenderaan mewah sedemikian sangat diperlukan dalam dakwah. Malah didalilkan nabi sendiri membeli atau menerima hadiah unta terbaik di zamannya iaitu al-qashwa.”
Yang saya tahu juga diberi nama al-jad’a dan al-adhba. Dasar pelahap!
Mulut saya terkumat kamit ingin menyahut, bahawa bukan sahaja kereta mewah terpapar di dalam mata rakyat, bahkan terdapat suatu dakwaan di Borneo Today bahawa seorang pemimpin Warisan dari Gum Gum, Arunarnsin Taib mendedahkan habuan berkesiuran di atas pundak kepala sesiapa berani meloncat adalah 32 juta.
Ustaz di sisi saya itu kelihatannya terhibur melihat deretan kereta mahal, berbanding gundah bersaksikan petualangan sedang berlaku di sebaliknya. Dalam sejarah umat dan bangsa Melayu, susah sekali mencari ulama jernih melihat siasah untuk orang bawah. Siasah adalah sentiasa untuk disembah. Dia ini salah seorangnya.
Petang itu saya kembali gundah. Saya memikirkan mengenai Sabah. Hampir bertimpa, dalam minggu yang sama, Setiausaha Urusan Luar Negara Filipina, Teodoro Locsin Jr menyalakan kembali api yang sumbunya kelihatan tidak pernah padam. Terdapat satu ciapan mengada-ada berbunyi; “Sabah is not in Malaysia”.
Tentu ciapan itu bukan gurau senda kerana tuntutan berusia 5 dekad itu dimulai oleh Presiden Diosdado Macapagal, dan kempen agar Sabah dapat dipeluk Filipina itu diserukan oleh bapa Teodoro sendiri iaitu Teodoro Locsin Sr.
Pada 2019, Charles C Jose, Duta Filipina ke Malaysia malah mengakukan di hadapan Ketua Menteri Shafie Apdal yang tuntutan Filipina ke atas Sabah tidak pernah digugurkan, cuma buat masa ini – tidak lagi aktif – yakni hasrat terpendam itu kelihatannya kembali membuak-buak. Segera ingatan saya kembali kepada Sabah, sumandak itu. Di mana pertama kali saya menemuinya? Barangkali di kampus Universiti Malaya banyak tahun lalu.
“Sabah pernah berjanji, selagi janji untuk kami itu pula dipatuhi maka kami tidak akan mungkiri”. Saya masih ingat suara halus Sabah melirih. Matanya kuyu tidak berkedip.
Tidakkah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pernah ke Sabah pada 1963 untuk menanyakan kehendak sebenar Sabah. Indonesia dan Filipina yang mengusulkan agar Sabah sendiri ditanya. Apakah penemuan PBB setelah disoal Sabah?
“The mission found that the great majority of the people of North Borneo have strongly supported the proposed Federation of Malaysia from the time of the elections down to the present. The Mission noted the high degree of unity reflected by national leaders.”
Ini dapat ditemukan dalam rekod bawah fasal United Nations, Malaysia Mission Report, Jabatan Penerangan Malaysia, 1963, di halaman 121, perenggan 240.
Justeru, Sabah sudah membuat pilihan.
Saya juga masih ingat petikan tulisan Profesor HG Tregonning pada 1970 dengan judul “The Philippine Claim to Sabah”, yang setelah panjang lebar menelusuri sejarah hubungan Sabah dan Filipina memutuskan Sabah sebaiknya jangan lagi diganggu, dan biarlah berada dalam dakapan Malaysia. Profesor Tregonning menulis begini;
“The Philippines, one can only hope, fully realises that Malaysia is prepared to defend its territory, and Sabahans their state. Let us rather lift our eyes from this barren dispute over whether in 1878 it was cede or lease – and whether that matters – and look at the world today.
“It would be farcical if Malaysia entertained this claim. It might equally as wisely return Kedah, to Thailand. Johore once ceded Singapore to the British; but then, even earlier, Singapore was part of a Sumatran State. What country in Southeast Asia has territories another could not claim, or boundaries that are the same as a hundred years ago? Is it not childish to entertain such ideas? Is it not better to accept those that were defined and accepted by the rest of the world when the proud independent Southeast Asian state of today entered the United Nations?”
Akan tetapi Sabah memang memberahikan. Bukan sahaja ia digoda oleh orang luar. Sabah malah diganggu dan dipujuk rayu oleh orang dalam. Bahawa Sabah adalah bahagian kerehatan dan ketenangan buat kita di seluruh Malaysia, dan bahawa Sabah itu kaya dengan budaya dan warna lokal yang belum habis dipunggah; semua itu menjadikan Sabah sungguh melekakan.
Petang itu saya melihat sosok Shafie Apdal mempertahankan maruah rakyat Sabah. Bahawa maruah Sabah tidak harus boleh dijual beli. Bahawa orang luar yang menggesa, dan orang dalam yang menggasak apa bezanya?
Sabah punya kehormatan bukan untuk dijual beli. Sabah selalu menentukan nasib sendiri. Sabah pernah menentukan nasibnya di hadapan dunia, menyatakan keinginannya dengan jujur dan polos kepada PBB. Maka kali ini, sungguh dengan maruah, Sabah diberi peluang kembali untuk mengisi mandat baharu. Bahawa Sabah diberi izin semula untuk menentukan nasibnya. Kerana itu pilihan Sabah akan sentiasa menggugah. Seperti mana pada 1963 itu Sabah tidak boleh dibeli, tahun 2020 ini kita akan menyaksikan Sabah kekal berani dan tekad lagi cekal.
Apatah lagi Sabah kini dibarisi anak-anak muda yang sedar sejarah dan cucu warisan 1963 itu. Sabah akan sekali lagi memilih.
Saya tidak lupa akan sumandak jelita. Kebetulan namanya Sabah.
Sabah?
Dan sumandak itu menyeluruhi saya seraya menggetap bibir, terlafaz penuh gelombang dan getar; “Ya, Sabah yang diingini semua”. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.