KUALA LUMPUR: Polis memaklumkan berjaya menumpaskan 12 sindiket perjudian dalam talian dan memberkas 138 individu selepas penahahan seorang suspek utama dikenali Addy Kana, yang terlibat sebagai koordinator sindiket Macau Scam.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Huzir Mohamed berkata, Addy berperanan menyediakan kemudahan sewa premis, termasuk kemudahan internet kepada sindiket dari China untuk menjalankan aktiviti jenayah, memandangkan mereka tidak boleh bertutur bahasa Melayu.
Katanya, selain terlibat dalam Macau Scam, Addy juga membantu dalam jenayah pelaburan pertukaran mata wang asing (Forex) dan penipuan membabitkan perjudian dalam talian dilakukan sindiket berasal dari China.
“Rentetan daripada tangkapan Addy, pihak JSJ melancarkan operasi bermula Sabtu lepas, sejumlah 12 serbuan dibuat di sekitar Lembah Klang dipercayai premis yang menjalankan ‘calling centre’ dan menahan 138 orang.
“Daripada 138 itu, 95 daripadanya warga China manakala 43 lagi rakyat tempatan. Dengan tangkapan ini, JSJ percaya dapat menumpaskan sindiket ‘calling centre’ di Lembah Klang,” katanya pada sidang media di Bukit Aman hari ini.
Huzir berkata, polis turut mengesan kewujudan sindiket menjalankan aktiviti pelacuran, menggunakan aplikasi berasal dari China, iaitu QQ, WeChat dan Weibo serta laman sosial lain seperti Facebook.
“Daripada tangkapan 138 orang, 55 daripadanya akan dituduh di mahkamah bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953, manakala 85 yang lain pula akan diambil tindakan bawah Akta Pencegahan Jenayah (Poca),” katanya.
Beliau memaklumkan, Addy turut memiliki rekod jenayah lampau membabitkan tindakan bawah Ordinan Darurat kerana terlibat kes samun, manakala seorang lagi suspek utama Goh Leong Yeong masih bebas selepas melarikan diri sebelum ini.
“Goh juga dikesan mempunyai beberapa buah syarikat komputer beroperasi di Plaza Low Yat, dan dikenalpasti terbabit sebagai salah seorang rakan kongsi di sebuah pusat hiburan,” katanya.
Katanya, laporan media yang mengaitkan Addy akan dibebaskan dalam masa terdekat tidak benar, memandangkan pihaknya bercadang melanjutkan reman selama 38 hari lagi, selepas tempoh reman 21 hari tamat kelak.
Serangan seksual
Sementara itu, Huzir memaklumkan pihaknya sudah membuka kertas siasatan berhubung penyebaran berita palsu mengaitkan Speaker DUN Melaka, Ab Rauf Yusoh yang dituduh melakukan serangan seksual.
“Kita buka kertas siasatan bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan sudah rakam kenyataan beberapa saksi atas tindakan fitnah.
“Kita juga sudah buat rampasan kamera litar tertutup di lokasi yang didakwa berlakunya kejadian. Kita juga akan kesan pihak yang terbabit membuat hantaran berkenaan sebelum ini,” katanya. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.