GEORGE TOWN: Kira-kira 150 penumpang kereta api funikular di pusat peranginan Bukit Bendera di Ayer Itam di sini berdepan detik cemas apabila terkandas di stesen tengah, sebelum diselamatkan pasukan bomba hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, mereka menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 2.33 petang daripada salah seorang mangsa yang terperangkap dalam kereta api berkenaan.
Menurutnya, sepasukan 20 anggota bomba bersama sebuah jentera dan pacuan 4 roda dari Balai Bomba Paya Trubong berkejar ke lokasi kejadian untuk menjalankan kerja menyelamat selepas menerima panggilan kecemasan.
Beliau berkata, penumpang yang didapati terkandas di stesen tengah itu dibawa turun ke stesen bawah dengan berjalan melalui laluan kereta api funikular berkenaan.
Sementara itu, Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) dalam catatan terbaru di Facebook memaklumkan bahawa mereka berjaya menyelesaikan masalah yang dihadapi, dan perkhidmatan kereta api funikular itu kembali beroperasi pada pukul 3.55 petang.
PBBPP turut memohon maaf atas kesulitan yang dialami dan mengucapkan terima kasih atas kesabaran serta kerjasama pengunjung. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.