PENAMPANG: Polis berdepan cabaran dalam mendidik masyarakat untuk mematuhi SOP perintah kawalan pergerakan berikutan masih ada yang “keras kepala”.
Ketua polis Penampang Mohd Haris Ibrahim berkata, perkara itu amat mengecewakan kerana ia menggambarkan segelintir masyarakat bersikap tidak ambil tahu dengan situasi semasa pandemik Covid-19.
“Sikap segelintir masyarakat enggan mengambil tahu dan tidak mematuhi SOP PKPB menyukarkan pasukan keselamatan membantu memutuskan rantaian wabak Covid-19 di negeri ini.
“Selepas PKPB dikuatkuasakan sejak 13 Oktober, masih ada segelintir individu melakukan aktiviti riadah termasuk bersukan dan memancing di beberapa lokasi di Penampang dan Kota Kinabalu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, keadaan itu amat membimbangkan pasukan keselamatan dan menyebabkan tindakan tegas dikenakan terhadap individu yang didapati melanggar PKPB termasuk dikenakan kompaun.
Katanya, perkara itu disedari ketika beliau dalam perjalanan pulang selepas selesai membuat lawatan persiapan pembinaan Balai Polis Babagon di Penampang semalam.
“Seorang lelaki ditahan selepas didapati beriadah dengan menaiki basikal di Jalan Papar Lama.
“Kompaun dikeluarkan terhadap lelaki terbabit atas kesalahan ingkar SOP PKPB iaitu dalam tempoh ini sebarang sukan riadah dan rekreasi tidak dibenarkan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi SOP PKPB yang ditetapkan dan polis tidak akan berkompromi jika ada pihak yang masih berdegil tidak mematuhi arahan. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.