`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, October 15, 2020

Pengilang sarung tangan beri maklum balas laporan buruh kanak-kanak, buruh paksa

 

Presiden Pertubuhan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) Supramaniam Shanmugam berkata industri sarung tangan getah di negara ini mematuhi undang-undang Malaysia dan pelbagai peraturan dan standard yang dikenakan oleh negara pengimport dan kerajaan tersebut. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) mengambil langkah proaktif sejak 2018 untuk mengkaji semula agensi pengambilan serta kebajikan dan rawatan pekerja asing, kata presidennya Supramaniam Shanmugam.

Beliau memberi jaminan itu sebagai maklum balas kepada laporan Senarai Barangan Dikeluarkan oleh Buruh Kanak-kanak atau Buruh Paksa 2020 yang diterbitkan Biro Hal Ehwal Buruh Antarabangsa (ILAB), Jabatan Buruh Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini.

“Adalah penting agar orang awam dan masyarakat global untuk tidak silap membaca laporan itu yang bersifat retrospektif dan tidak punitif secara semula jadi.

“Malah, laporan itu turut tidak mengambil kira perkembangan terkini mengenai pematuhan sosial termasuk pemulihan kepada pekerja asing dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Supramaniam Shanmugam.

Bagaimanapun, beliau berkata MARGMA memberi perhatian ke atas penyenaraian sarung tangan dalam senarai terkini itu dan menghargai penyelarasan dan kerjasama jabatan itu dalam menangani isu buruh paksa dan buruh kanak-kanak.

Beliau menegaskan bahawa industri sarung tangan getah di negara ini mematuhi undang-undang Malaysia dan pelbagai peraturan dan standard yang dikenakan oleh negara-negara pengimport dan kerajaan tersebut.

“Pengeluar sarung tangan getah di Malaysia telah mematuhi amalan pengilangan dan pekerjaan yang baik dan menjalani 4 tahap audit seperti audit dalaman, audit berteraskan pelanggan, audit pihak ke-3 dan audit kerajaan ke atas kemudahan dan pekerja mereka pada sepanjang tahun.

“Selain bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia dan Jabatan Buruh Semenanjung Malaysia untuk melaksanakan pelbagai penambahbaikan, MARGMA turut bekerjasama dengan kerajaan AS,” katanya.

Supramaniam berkata, MARGMA berhubung dengan Kedutaan AS di Kuala Lumpur, Pejabat Akauntabiliti Kerajaan AS dan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan negara itu untuk penambahbaikan berterusan bagi kebajikan pekerja asing dalam industri sarung tangan getah. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.