MACHANG: Prihatin terhadap golongan asnaf yang terkesan akibat pandemik Covid-19, seorang ibu tunggal mengambil inisiatif mengagihkan 240 kilogram daging korban sempena Hari Raya Aidiladha secara pandu lalu di perkarangan rumahnya.
Nor Azura Abdullah, 46, yang juga bekas jurutera keselamatan, berkata memandangkan pada tahun ini tidak ramai yang melakukan ibadah korban mungkin kerana mematuhi prosedur operasi standard (SOP), beliau bersama rakan-rakan mengambil keputusan menyumbang daging kepada keluarga miskin dan ibu tunggal.
“Pada saya, daging korban adalah makanan premium bagi orang susah, jadi saya bersama rakan-rakan mengumpulkan wang dengan hebahan menerusi laman sosial.
“Korban selama tiga hari itu dibuat di Tanah Merah melibatkan 15 ekor lembu dan saya bawa balik ke Pulai Chondong untuk diagihkan kepada 60 asnaf serta ibu tunggal sekitar rumah,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Surau, Pulai Chondong di sini hari ini.
Nor Azura, yang juga aktivis masyarakat itu, berkata beliau sebelum ini menetap di Kulim, Kedah dan berpindah ke Kelantan setelah berhenti kerja pada 2014 kerana mengikut Allahyarham suami, Mohd Hadzramy Abdullah, yang meninggal dunia pada Jun tahun lalu akibat penyakit angin ahmar.
Beliau berkata, kerja kebajikan yang dilakukannya sebagai menyambung amanah yang diberikan oleh arwah suami dan bapa mertua, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Chondong, Allahyarham Abdullah Mohamed.
“Jiwa saya gemar pada kerja-kerja CSR (tanggungjawab sosial korporat) membantu orang miskin dan sudah melakukannya ketika masih bekerja lagi. Kini saya fokus kepada membantu asnaf dengan menyediakan kerja di butik kraf tangan di hadapan rumah,” kata ibu empat anak itu. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.