`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!





Friday, July 30, 2021

Simpati nasib penanam timun, usahawan borong 2 tan, agih kepada orang ramai

 

Timun yang dibeli diagihkan kepada penduduk kampung dengan bantuan pemimpin setempat, kata Ratna Salsabella Ismail. (Gambar Bernama)

KOTA BHARU: Prihatin dengan nasib penanam timun yang mengalami masalah lambakan hasil pertanian mereka, seorang usahawan memborong dua tan sayur itu untuk diagihkan kepada penduduk di beberapa kampung sekitar daerah ini.

Ratna Salsabella Ismail, 31, melakukan pembelian secara pukal apabila mengetahui berlaku lambakan timun sejak beberapa hari lepas.

“Timun yang dibeli ini diagihkan kepada penduduk di beberapa kampung dengan bantuan pemimpin setempat.

“Selain dapat membantu penanam menyelesaikan masalah lambakan hasil pertanian sekali gus memberi mereka pendapatan, pada masa sama usaha ini juga dapat memberi manfaat kepada masyarakat setempat,” katanya ditemui semasa mengagihkan timun kepada penduduk di sekitar rumahnya di Kampung Telipot.

Beliau berkata, lebih menggembirakan, usaha itu turut mendapat perhatian beberapa individu lain yang berminat untuk sama-sama menghulurkan sumbangan kewangan bagi membeli timun.

Ratna Salsabella berkata, usaha itu akan diteruskan pada minggu akan datang bagi membantu melariskan jualan sayur-sayuran dan memastikan aktiviti kemasyarakatan terus berjalan terutama dalam membantu mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Penanam timun Mohammad Al Hafiz Ahmad Zuhdi, 37, pula bersyukur kerana masalah lambakan sayur itu sebanyak tiga tan sehari di kebunnya yang terletak di Kampung Pusu 40, Lubok Jong, Pasir Mas dapat diselesaikan.

“Sebelum ini, sudah banyak timun yang diagihkan secara percuma tetapi lambakan masih ada, jadi jika ada mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) atau individu yang murah hati untuk membelinya amat dialu-alukan kerana sedikit sebanyak ia memberi pulangan kepada kami,” katanya.

Beliau turut menghargai usaha Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Kelantan sama-sama membantu penanam sayur memasarkan hasil tani mereka. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.