PETALING JAYA: Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan mahu dua menteri turut memberi penerangan dalam sidang khas Parlimen yang akan bermula esok kerana mereka memainkan peranan penting dalam usaha menangani penularan Covid-19.
Beliau berkata, mereka adalah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Azmin Ali dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Takiyuddin Hassan.
Katanya, dua menteri itu perlu terbabit dalam sesi penerangan di Parlimen, selain Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, Timbalannya, Ismail Sabri Yaakob, Menteri Kesihatan, Menteri Kewangan serta Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.
“Ada dua menteri tak masuk dalam senarai patut digrill (dipanggang), satu menteri MITI kerana buka kilang dan kilang melanggar SOP hingga mencetus kluster tempat kerja banyak, beliau tidak disenarai untuk beri penerangan.
“Satu lagi menteri undang-undang, beliau tahu segala Ordinan Darurat, nama mereka perlu disenaraikan untuk digrill juga,” katanya dalam program “Edisi Khas Dewan Rakyat: Kebenaran atau Kegagalan?” yang disiarkan secara langsung di Facebook.
Ahmad berkata, Takiyuddin perlu menjelaskan keberkesanan pelaksanaan Ordinan Darurat dalam membendung penularan Covid-19.
Katanya, sidang khas Parlimen sepatutnya diadakan tiga bulan lebih awal bagi membincang dan memantau isu berkaitan rakyat serta usaha menangani penularan Covid-19.
“Saya bagi contoh kementerian Khairy (Jamaluddin). Tengok program vaksinasi sekarang, lebih 400,000 dos sehari diberi, kalau kita sudah ada sidang Parlimen tiga bulan lepas, saya rasa tiga bulan lepas, kita sudah capai 400,000 dos sehari disuntik.
“Semua menteri di seluruh dunia, bila ada (Parlimen) mereka akan kerja bersungguh-sungguh dan berusaha untuk meningkatkan jumlah (vaksin), ini contoh keberkesanan Dewan Rakyat. Kalau menteri bangkit angka (vaksin) tak cantik, dia akan malu, jadi ini pentingnya sidang Parlimen.”
Sidang khas Dewan Rakyat selama lima hari akan bermula esok hingga 29 Julai dan 2 Ogos ini dan tiga hari mulai 3 hingga 5 Ogos bagi Dewan Negara. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.