`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Friday, July 23, 2021

‘Bukan cari publisiti murahan’, Ahli Parlimen pertahan letak logo parti, muka di pek bantuan

 

Ahli politik tiada masalah dengan amalan meletakkan pelekat lambang parti atau gambar muka penyumbang pada pek bantuan makanan yang diagihkan kepada rakyat.

PETALING JAYA: Beberapa Ahli Parlimen mempertahankan amalan melekat logo parti dan gambar mereka pada pek bantuan dengan berkata, langkah berkenaan diambil bagi tujuan keselamatan dan akauntabiliti.

Mereka menolak kritikan bahawa ia adalah “aksi murahan” untuk menuntut penghargaan atas bantuan yang sebahagian kosnya ditanggung oleh pembayar cukai.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Redzuan Yusof berkata, ia hak penderma untuk menggunakan gambar mereka pada pek bantuan.

“Hakikatny, ramai orang mengukur prestasi kerajaan, parti politik dan Ahli Parlimen melalui bantuan yang mereka sampaikan,” katanya.

“Jadi saya rasa wajar jika mereka guna logo atau gambar mereka. Tetapi jika bantuan itu datang daripada kerajaan atau agensinya, gambar Perdana Menteri sebagai ketua kerajaan bersama lambang dan nama kementerian sudah cukup.”

Ini bukan isu besar katanya, memandangkan amalan menyertakan gambar dengan sumbangan diamalkan secara meluas dalam budaya politik negara ini oleh kedua-dua pihak pembangkang dan kerajaan.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah berkata, pusat khidmat rakyat perlu diberi penghargaan atas sebarang bantuan yang disalurkan.

“Kadang kala pusat khidmat juga menerima sumbangan daripada orang ramai. Itulah sebabnya mengapa kita perlu nyatakan dari mana bantuan itu datang dengan meletakkan pelekat pada bantuan makanan,” katanya.

“Malah jika saya tak buat begitu, pengundi kawasan saya akan mula mempersoalkan tugas saya sebagai Ahli Parlimen.”

Beliau berkata, badan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat turut mempunyai amalan serupa dan orang ramai biasanya tidak mempersoalkannya.

“Namun saya faham dari mana datangnya kemarahan ini. Orang ramai marah atas kegagalan kerajaan mengurus krisis Covid-19,” katanya.

“Bagaimanapun rakyat juga harus menilai kerja yang dilakukan dan bukan secara pukul rata menganggap semua ahli politik tidak membuat kerja dan hanya mencari publisiti.

“Perlu ada label bahawa bantuan itu daripada pejabat Parlimen tertentu. Ini bukan langkah politik tetapi sebahagian daripada (amalan) ketelusan supaya rakyat yang menderma tahu wang mereka digunakan untuk bakul makanan ini.”

Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng juga memberitahu FMT, beliau tiada masalah dengan amalan tersebut.

“Kebanyakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) swasta dan program amal NGO sedunia mengamalkannya,” katanya.

“Ini juga soal akauntabiliti kerana rakyat akan tahu apa yang dilakukan ahli politik mana di kawasan mereka dan barangan apa yang disumbangkan.”

Setiausaha DAP Sabah Chan Foong Hin berkata, beliau bukan mencari publisiti murahan untuk diri atau partinya dengan meletakkan pelekat DAP pada pek bantuan.

Beliau menyebut gambarnya yang tular di media sosial menunjukkan beliau melekatkan logo roket DAP pada bungkusan nasi lemak dan barangan makanan lain.

Gambar itu dikongsi pereka grafik Fahmi Reza di Twitter yang disertai ciapan dalam Bahasa Melayu, “Ahli Parlimen Kota Kinabalu kaki sticker.”

Namun kata Chan, akauntabiliti penting baginya.

“Keselamatan makanan menjadi isunya. Beranikah anda makan nasi lemak yang anda tidak tahu datang dari mana atau tiba-tiba diberikan oleh seseorang?

“Jika berlaku keracunan makanan seperti yang dialami Perdana Menteri, siapakah yang akan anda salahkan?”

Katanya, ahli politik tidak boleh melakukan tugas mereka tanpa publisiti.

“Tanpa publisiti, rakyat akan kata, ‘Anda tidak menjalankan tugas’. Jika saya turun padang, saya akan pakai kemeja T dengan lambang roket (DAP) untuk menunjukkan identiti saya.

“Jika saya guna saluran parti untuk kumpul dana, sudah tentu saya akan guna pelekat (berlambang) roket,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.