`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, July 22, 2021

Doktor boleh tinggalkan perkhidmatan awam selepas 18 bulan

 

Perkhidmatan mandatori bagi doktor ialah tiga tahun sebelum ia dikurangkan kepada dua tahun pada 2010.

PETALING JAYA: Perkhidmatan kerajaan mandatori untuk doktor dikurangkan daripada dua tahun kepada 18 bulan, langkah yang dilihat mampu mengurangkan tekanan dihadapi pegawai perubatan di bawah sistem kontrak Kementerian Kesihatan (KKM).

Berdasarkan garis panduan yang dikeluarkan Oktober tahun lalu, pegawai perubatan boleh memohon pengurangan itu sebaik sahaja menamatkan perkhidmatan 18 bulan mereka, yang bermakna mereka bebas menyertai sektor swasta atau mencari peluang di luar negara sebelum tamat tempoh dua tahun.

“Kriteria kelayakan untuk pengurangan dalam tempoh perkhidmatan wajib hanya akan dipertimbangkan bagi mereka yang berkhidmat sekurang-kurangnya setahun enam bulan dalam sektor awam. Di bawah Seksyen 43 Akta Perubatan 1971, Menteri Kesihatan boleh memberikan pengurangan,” kata Majlis Perubatan Malaysia dalam garis panduan berhubung perkara itu.

Menurut sumber perubatan, langkah ini bertujuan menggalakkan doktor kontrak menyertai sektor swasta untuk mengurangkan tekanan kerajaan.

Kerajaan kini dibebani masalah 23,000 doktor kontrak yang menuntut penempatan tetap dengan ribuan lagi akan menyertai kumpulan doktor junior itu setiap tahun.

Perkhidmatan wajib untuk doktor di hospital awam adalah tiga tahun, manakala latihan ialah setahun. Pada 2010, tempoh mandatori dikurangkan kepada dua tahun, tetapi tempoh latihan dinaikkan ke dua tahun. Jumlah minimum tempoh dalam perkhidmatan kerajaan kekal empat tahun.

Doktor berkata, langkah terbaharu itu, yang tidak diumumkan secara meluas, dibuat selepas kerajaan menghadapi kesukaran menampung sejumlah besar doktor yang menghabiskan latihan mereka dalam perkhidmatan kerajaan, yang menyebabkan sistem kontrak diwujudkan.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia, Subramaniam Muniandy ketika dihubungi berkata, mereka tidak tahu mengenai peruntukan itu dan akan mengulas kemudian.

Seorang perundingan kanan di sebuah hospital swasta berkata, ini mungkin bulan tindakan sewajarnya kerana empat tahun penuh, termasuk latihan di hospital kerajaan atau institusi lain, ialah cara terbaik untuk doktor mendapatkan kemahiran.

“Jika ia dilakukan untuk melepaskan doktor kontrak demi meringankan beban kewangan kerajaan, maka ini tidak betul. Kebanyakan doktor senior merasakan semakin lama mereka berada di hospital kerajaan, mereka semakin cekap.”

Selain pengurangan ini, doktor yang menamatkan latihan mereka dibenarkan memohon penangguhan perkhidmatan mandatori mereka daripada menteri atas alasan sah, manakala mereka yang menjalani latihan mereka di hospital diiktiraf di luar negara boleh memohon pengecualian sekembalinya ke tanah air.

Mereka yang berkhidmat di luar negara dengan pengalaman klinikal sekurang-kurangnya 10 tahun juga boleh memohon pengecualian daripada perkhidmatan wajib selepas pulang ke negara. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.