`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Tuesday, July 27, 2021

Jangan dolak dalik, jawab Agong perkenan batal Ordinan Darurat atau belum, Anwar beritahu Takiyuddin

 

Takiyuddin Hassan menegaskan semua isu berkaitan darurat akan dijawab pada Isnin.

PETALING JAYA: Walaupun diasak berkali-kali oleh pembangkang, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan hari ini enggan memberitahu Dewan Rakyat sama ada Yang di-Pertuan Agong telah memberi perkenan kepada keputusan kerajaan menarik balik semua Ordinan Darurat pada 21 Julai.

Sebaliknya Takiyuddin berkata, beliau akan hanya mengupas isu itu pada Isnin.

Penjelasan Takiyuddin itu menimbulkan rasa tidak puas hati pembangkang, termasuk Gobind Singh (PH-Puchong), Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai) dan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim, yang mendesak ia dijelaskan hari ini.

Takiyuddin tidak perlu membuat penjelasan secara terperinci hari ini, kata Anwar, sebaliknya hanya perlu mengesahkan sama ada keputusan kerajaan pada 21 Julai untuk tidak meneruskan darurat dan ordinan darurat telah diperkenan Agong dan diwartakan atau belum.

“Semalam menteri kata batal. Kalau belum (diperkenan Agong dan diwartakan), cakap belum. Jangan nak dolak dalik,” tambah Ahli Parlimen Port Dickson itu.

Anwar berkata, jika isu keabsahan penarikan balik Ordinan Darurat itu tidak dijawab segera, ia akan menyebabkan rakyat hilang kepercayaan sama sekali terhadap kepimpinan negara.

Takiyuddin tetap enggan memberi jawapan langsung yang dituntut Anwar dan Ahli Parlimen pembangkang lain, sebaliknya menegaskan bahawa penerangan penuh akan diberikan pada Isnin.

“Saya nak menarik perhatian YB dan Dewan Rakyat bahawa semalam Speaker telah membuat satu ketetapan. Dia sebut menteri undang-undang beri penjelasan pada Isnin.

“Saya meminta, dengan rendah diri, untuk berlaku adil dengan keputusan dibuat Speaker untuk diberi peluang menjelaskan semua (isu) berkait pelaksaaan (Ordinan Darurat) Isnin ini. Ketetapan dibuat Speaker,” kata Takiyuddin pada hari kedua mesyuarat khas Dewan Rakyat.

Sementara itu, RSN Rayer (PH-Jelutong) turut tidak berpuas hati dan meminta Takiyuddin menjelaskan perkara itu hari ini dengan mendakwa hasil semakan beliau berhubung pelaksanaan ordinan itu termasuk kompaun dikenakan dan digunakan pihak pendakwa raya ke atas pelanggar SOP masih mengguna pakai peraturan di bawah Ordinan Darurat selepas 21 Julai.

“Penasihat undang-undang negeri (Pulau Pinang) saya semak masih guna dan mereka masih belum dimaklumkan tentang penarikan balik Ordinan Darurat,” dakwa Rayer

Sementara itu, Timbalan Speaker Azalina Othman Said memaklumkan beliau tidak boleh mengubah keputusan dibuat oleh Speaker melainkan wakil pembangkang perlu memohon supaya isu terbabit dijelaskan lebih awal berbanding Isnin.

Beliau juga turut menegur keengganan wakil pembangkang membenarkannya membuat penjelasan dan ketetapan dengan membuat kecoh di Dewan Rakyat.

“Bagi saya peluang untuk buat kerja saya, beri saya bercakap pula, kalau YB (pembangkang) nak bercakap tak ada guna saya jadi Timbalan Speaker. Speaker sudah buat ‘ruling’, penerangan dibuat Isnin ini, kalau YB ( pembangkang) tak puas hati, boleh pergi jumpa Speaker bincang, atau nanti jam 11 Speaker masuk boleh tanya,” katanya.

Semalam Takiyuddin memaklumkan bahawa kerajaan memutuskan untuk tidak menasihati Agong untuk menyambung Proklamasi Darurat yang akan tamat pada 1 Ogos ini.

Katanya, kerajaan juga memutuskan berdasarkan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan, semua ordinan yang telah dibuat sepanjang tempoh Proklamasi Darurat dibatalkan.

“Kerajaan sudah menarik balik semua Ordinan Darurat berkenaan pada 21 Julai lalu. Pembatalan ini menjadikan isu Proklamasi dan Ordinan Darurat tidak lagi berbangkit,” kata Takiyuddin pada hari pertama Mesyuarat Khas Dewan Rakyat semalam.

Isnin depan merupakan hari terakhir mesyuarat khas Dewan Rakyat ini. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.