PETALING JAYA: Ahli Parlimen PAS dan Bersatu perlu tegas bersuara menuntut Sidang Khas Parlimen yang akan bermula 26 Julai ini bukan sekadar sesi taklimat, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Puad Zarkashi.
Puad berkata, mereka harus membawa sikap integriti dengan berani memberi pendapat dan bukannya mendiamkan diri hanya kerana mahu menjaga jawatan.
“Mohon Ahli Parlimen PAS dan Bersatu bersuara nyaring menuntut sidang khas Parlimen mulai 26 Julai ini bukan sesi taklimat. Jangan takut dipecat, bersuaralah untuk sidang Parlimen yang telus.
“Jangan berani ketika jadi pembangkang, tetapi bisu dan pekak ketika jadi penguasa. Berbeza pendapat lah sikit dengan ketua dan parti kamu,” katanya di Facebook.
Puad dalam pada itu juga menegaskan, pendirian Umno jelas mahu Parlimen bersidang seperti yang dibawa oleh presiden parti ketika mengadap Yang di-Pertuan Agong.
“Pendirian Umno cukup jejas. Umno mahu Parlimen bersidang seperti yang dibawa oleh presiden Umno ketika mengadap Agong. Itu juga pendirian MKT Umno,” katanya.
Semalam, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok menyifatkan Sidang Khas Parlimen itu sebagai “ceramah” dan menyimpang daripada titah Yang di-Pertuan Agong supaya Parlimen bersidang secepat mungkin.
“Sepanjang 21 tahun menjadi Ahli Parlimen, saya tidak pernah hadir sidang Parlimen yang tidak memberi ruang kepada Ahli Parlimen untuk menyertai perbahasan ataupun membentangkan usul,” kata beliau.
Terdahulu, Pengerusi Pejuang, Dr Mahathir Mohamad berkata, Ahli Parlimen daripada parti itu mungkin memulau sesi Parlimen berkenaan jika tidak ada perbahasan dan dua usul yang dikemukakan Pejuang tidak dibenarkan.
Bekas perdana menteri itu mempersoalkan keperluan Ahli Parlimen perlu menghadiri Sidang Khas Parlimen itu, jika ia hanya untuk mendengar penjelasan kerajaan.
Katanya, ia sekadar helah untuk menunjukkan sidang Parlimen diadakan sedangkan ia bukan seperti yang difikirkan semua orang.
Aturcara Sidang Khas Parlimen itu turut dikritik Najib Razak yang berkata ia sepatutnya untuk membahaskan Pelan Pemulihan Negara dan Ordinan Darurat.
“Titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja pemerintah jelas ialah untuk bertitah sidang Parlimen diadakan secepat mungkin, bukan untuk kita pergi ke Parlimen untuk mendengar penerangan atau taklimat dari menteri-menteri,” kata beliau. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.