`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, July 23, 2021

Kalau nak cucuk, cucuk betul-betullah sayang

 

Tentunya anda sudah tahu akan lawak mengenai jenis vaksin di Malaysia yang tular di media sosial terutamanya.

Ada yang melawak jika AS ada Pfizer, Moderna, dan Johnson & Johnson, manakala Russia ada Sputnik – semua vaksin yang diiktiraf Pertubuhan Kesihatan Sedunia, vaksin Malaysia dikenali sebagai “cucuk angin”.

Satu lagi – kalau China ada Sinovac, Malaysia ada “See No Vac” (vaksin tak nampak). Kalau UK ada AstraZeneca, Malaysia ada “Astra Tak Kena”.

Lucukan? Tetapi “lawak” itu semua digunakan sebagai satira dan memerli keadaan, khususnya kejadian ketika vaksinasi. Aduan berkaitan kandungan vaksin dikatakan tidak cukup dos. Lebih menakutkan dakwaan ada orang yang disuntik picagari kosong. Itu aduan serius. Bukan lawak. Tidak lucu, tidak kelakar.

Sebenarnya dakwaan orang disuntik picagari kosong pernah timbul Mei lalu semasa vaksinasi dos pertama dijalankan. Jujur saya katakan, saya cemas apabila baca laporan berita mengenai dakwaan itu.

Ketika itu saya baru sehari dua mendapat suntikan dos pertama. Apatah lagi saya tidak alami kesan sampingan tatkala anak-anak saya sakit-sakit badan dan demam. Semua itu membuatkan saya tertanya-tanya – adakah saya betul-betul dapat suntikan? Kalau ya, kenapa tidak ada kesan sampingan seperti yang dialami anak-anak saya?

Terus saya tanya rakan-rakan bergelar doktor. Kata mereka, kesan sampingan berbeza-beza antara satu individu dengan individu yang lain. Ada orang dapat kesan teruk, ada pula kesan sedikit, serta ada pun seolah-olah tak ada kesan langsung. Faktor usia diambil kira juga. Oleh kerana saya ini bukanlah muda, mungkin usia memainkan peranan yang membuat saya tidak rasa ‘side effect’ teruk. Kata-kata mereka melegakan saya.

Namun saya tanya pula seorang lagi kawan rapat. Beliau bukan doktor. Persoalan pun bukan mengenai kesihatan. Kawan saya itu boleh digolongkan sebagai orang bijak, cerdik, dan pandai. Saya tanya bagaimana jika saya mahu bawa keraguan saya ini kepada pihak berkuasa.

Jawab beliau itu agak susah kerana saya mengadu hanya berbekalkan syak dan rasa was-was. Saya tidak ada bukti. Lalu aduan saya mudah diketepikan. Saya setuju dengan pandangan kawan saya itu. Saya tidak ada bukti. Tetapi saya ada gambar. Malangnya tidak ada video. Kalau ada video lagi bagus.

Siri gambar yang diambil menunjukkan babak-babak si tukang suntik menekan picagari dengan baik. Lega walaupun saya tidak ditunjukkan botol vaksin terlebih dahulu sebelum suntikan. Apa pun saya anggap diri saya telah divaksin dengan “sempurna”.

Lagi pun gambar diambil oleh orang ketiga dalam kamar suntikan. Beliau juga petugas perubatan. Seorang lagi petugas ialah yang penyuntik di meja sebelah.

Saya kira saya bernasib baik. Punya kamera dan kakitangan dalam kamar suntikan yang sudi menolong saya ambil gambar guna kamera telefon saya. Diakui saya tidak cekap “selfie” mahu pun “wefie”. Lazimnya hanya dua petugas dalam satu kamar.

Benar dewasa ini hampir semua orang ada telefon lengkap dengan kamera. Tetapi ada juga yang tidak memiliki kemudahan itu, lazimnya golongan yang berusia lanjut. Benar warga emas boleh ditemani anak atau saudara. Tetapi apa jadi kalau berseorangan?

Sekarang muncul banyak aduan tentang kepincangan proses vaksinasi seperti dikatakan pada mula artikel ini.

Sekarang pula dilaporkan banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV) melarang gambar apa lagi video diambil semasa suntikan. Cuma boleh “pose” diluar untuk mengumumkan “saya sudah divaksinasi”.

Saya setuju dengan Ahli Parlimen Pantai, Fahmi Fadzil, supaya orang ramai dibenarkan merakam gambar mereka menerima vaksin. Kata beliau di Twitter, rakyat patut dibenarkan rakam gambar atau video terima vaksin – apa lagi “duit beli vaksin pun duit rakyat”.

Aduan rakyat disuntik tidak cukup dos (dalam lawak sinis “See No Vaksin”) atau disuntik dengan picagari kosong (dalam lawak “Cucuk Angin” dan “Astra Tak Kena”) mesti diambil serius dan disiasat sepenuhnya.

Kata Menteri Kesihatan, Adham Baba, mana-mana individu yang terbukti diberi suntikan “picagari kosong” akan menerima suntikan vaksin baharu. Ini belum memadai walaupun sepatutnya mereka yang terbukti “tertipu atau ditipu” diberi dos baharu.

Begitu juga kenyataan timbalan beliau, Noor Azmi Ghazali, bahawa keletihan mungkin punca ada yang disuntik picagari kosong. Itu bukan bermakna habis cerita.

Rakyat datang ke PPV dengan penuh harapan dalam usaha mencegah jangkitan Covid-19. Rakyat menaruh sepenuh kepercayaan. Apabila mereka melangkah keluar mereka percaya mereka telah disuntik, dan berasa yakin.

Tetapi jika ada antara mereka yang tidak disuntik dengan sempurna tetapi tidak tahu akan keadaan sebenar, bagaimana? Mereka akan bergerak dan bergaul dengan anggota keluarga tanpa tahu mereka sebenarnya tidak disuntik.

Ini bagi saya satu penganiayaan. Satu pencabulan terhadap kepercayaan. Pembohongan dan penipuan, malah jenayah besar.

Kerajaan mesti tampil dengan penyelesaian. Mengesan mereka memang mustahil kerana mereka sendiri tidak tahu mereka tidak disuntik dan mempunyai masalah besar. Oleh itu, apa yang mesti lakukan? Harapan kita Jemaah Menteri besar yang kita ada ini boleh beri jawapan. Kemukakan suatu “workable solution”.

Tambahan pula, mengapa penipuan itu terjadi? Mengapa tidak cukup dos diberi? Mengapa suntik dengan picagari kosong? Siasat. Tidak dinafikan petugas kepenatan, namun penat tidak boleh diterima sebagai alasan.

Pelbagai orang syak ada unsur jenayah – mungkin buat duit dengan cara salah. Jika ini benar, hukuman berat mesti dikenakan ke atas orang yang terbukti bersalah.

Cukup-cukuplah rakyat terus dianiayai. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.