`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Tuesday, July 27, 2021

Kesatuan sekerja KKM tak sokong dasar ‘trade off’ perjawatan

 

Semalam, doktor kontrak mengadakan mogok di beberapa hospital di seluruh negara.

PETALING JAYA: Gabungan Kesatuan Sekerja bawah Kementerian Kesihatan (MAPSU KKM) tidak menyokong sebarang usaha memberikan jawatan kepada kumpulan skim lain dengan dasar “trade off” perjawatan.

Majlis Presiden dan Setiausaha Agung MAPSU KKM berkata, jika “trade off” diadakan maka jawatan kumpulan sokongan yang penting akan semakin berkurangan dan mengecil.

Sehubungan itu, MAPSU mendesak kerajaan segera mengisi perjawatan tetap yang kosong di semua skim perjawatan serta menambah baik struktur perjawatan dan gaji di KKM.

“MAPSU memohon kerajaan melihat semula skim-skim di KKM agar dapat ditambah baik struktur perjawatan dan gaji selaras dengan peredaran teknologi dan kepentingan jawatan di bawah KKM.

“MAPSU turut meminta supaya sistem perjawatan kontrak dihapuskan dan memohon agar jawatan kontrak terutama di kumpulan pelaksana turut diserap ke jawatan tetap,” kata kesatuan itu dalam kenyataan.

MAPSU yang terdiri daripada 21 kesatuan gabungan bawah KKM mewakili lebih 70,000 ahli dan melibatkan pelbagai kategori jawatan berharap kerajaan dapat memastikan skim perjawatan di kumpulan pelaksana diberi perhatian.

Sebelum ini, tanda pagar #HartalDoktorKontrak tular di Twitter sebagai tanda sokongan terhadap nasib yang menimpa doktor kontrak.

Kempen tanda pagar itu turut membuat gerakan supaya pegawai perubatan kontrak melakukan mogok pada 26 Julai lalu.

Ia susulan kenyataan Menteri Kesihatan Dr Adham Baba pada 23 Jun lalu bahawa jawatan doktor kontrak membabitkan seramai 23,077 orang dilanjutkan selama setahun bermula 5 Dis 2021 hingga 4 Dis 2022

Terdahulu pada Mac, KKM mendapat kelulusan bagi sejumlah 10,675 perjawatan baharu secara berfasa menerusi “trade-off” jawatan KKM dan kementerian lain, bagi memenuhi keperluan membendung pandemik Covid-19 bagi tahun 2020 dan 2021.

Ia berikutan pelaksanaan dasar kawalan saiz dalam perkhidmatan awam sejak 2015, perjawatan tetap tidak lagi dipertimbangkan melainkan dilaksanakan secara tukar ganti. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.