`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Saturday, July 3, 2021

‘Kita semua sebuah keluarga,’ Ebit Liew tekad beri bantuan barang dapur kepada mangsa Covid-19

 

Ebit Liew tidak merujuk kepada kempen bendera putih, namun menyuarakan rasa “sedih sayu” mengenai nasib sesetengah orang, termasuk mereka yang membunuh diri kerana tekanan hidup. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Kurang 24 jam tiba di tanah air selepas mengetuai misi kemanusiaan di Gaza, Palestin, pendakwah bebas Ustaz Ebit Liew terus menggerakkan bantuan barangan dapur untuk mangsa pandemik Covid-19.

Ebit tidak membuat sebarang rujukan kepada kempen bendera putih ketika ini yang mencetuskan kontroversi, namun berkata, beliau “sedih sayu” mengenai nasib sesetengah penduduk termasuk mereka yang membunuh diri kerana tekanan hidup.

“Pohon doakan ye. Bantuan barang dapur buat seluruh Malaysia. Sedih sayu berat ujian kita semua di Malaysia. Menangis baca berita-berita di Malaysia orang bunuh diri,” katanya dalam catatan di Facebook.

“Bantuan diberikan tanpa mengira bangsa dan agama. Kita semua sebuah keluarga,” tambah beliau.

Komitmen Ebit itu disuarakan ketika kalangan orang ramai mengibarkan bendera putih untuk mendapatkan bantuan setelah kehilangan mata pencarian.

Kempen bendera putih dimulakan warganet di media sosial sebagai cara cepat menyampaikan bantuan kepada golongan susah yang mengibarkannya di halaman rumah sekiranya tiada makanan dan memerlukan pembelaan.

Kempen itu mencetuskan kontroversi dengan pihak tertentu menyifatkannya sebagai keterlaluan dan bertujuan menjatuhkan imej kerajaan.

Antara yang menempelak pihak di sebalik kempen itu adalah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Nik Abduh Nik Aziz.

“Angkat tangan berdoa kepada-Nya. Itulah bendera kekuatan dan optimis dalam ujian kehidupan. Jangan angkat kekalahan menghadapi ujian dengan mengajar rakyat mengangkat bendera putih,” kata beliau.

Kenyataan itu dicemuh oleh warganet yang menganggap Ahli Parlimen Bachok itu sebagai tidak peka kepada kesengsaraan orang ramai dalam mengharungi wabak Covid-19. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.