`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, July 24, 2021

Lantik Rafidah, Jomo anggotai Majlis Pemulihan Negara, gesa DAP

 

Lim Guan Eng mencadangkan pakar dalam bidang berkaitan yang tidak mempunyai hubungan politik dengan mana-mana pihak seperti Rafidah Aziz dan Jomo Kwame Sundaram dilantik menganggotai Majlis Pemulihan Negara.

PETALING JAYA: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mencadangkan bekas menteri, Rafidah Aziz dan pakar ekonomi terkenal, Jomo Kwame Sundaram dilantik menganggotai Majlis Pemulihan Negara (MPN).

Lim mendakwa beberapa individu kononnya pakar dalam bidang tertentu yang dilantik kerajaan setakat ini tidak memenuhi syarat kerana mereka “sama ada membenar atau mendiamkan diri” terhadap skandal 1MDB.

Beliau berkata, Putrajaya perlu melantik pakar dalam bidang berkaitan yang tidak mempunyai hubungan politik atau terkait dengan legasi kerajaan terdahulu.

“Pakar-pakar bidang yang berkenaan di dalam MPN ini bukan sahaja perlu memiliki latar belakang profesional, tetapi juga mempunyai keberanian untuk bercakap benar kepada pemerintah.

‘Pakar-pakar bidang berkenaan lain yang perlu dipertimbangkan untuk MPN adalah pakar ekonomi terkemuka, Jomo, dengan penekanan terhadap orang miskin dan yang kurang bernasib baik daripada segi sosial.

“Pakar bedah kardiotorasik terkenal, Yahya Awang dapat menawarkan perspektif perubatan berbeza mengenai jalan keluar daripada krisis kesihatan sekarang.

“Iron Lady” Malaysia, Rafidah juga perlu dipilih sebagai seorang yang tidak takut untuk bercakap benar kepada mereka yang berkuasa,” katanya dalam kenyataan.

Lim turut mengkritik Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Azmin Ali susulan penyertaan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Khazanah Nasional, Azman Mokhtar dalam MPN kerana Azmin ialah pengkritik lantang Azman sebelum ini.

“Azmin mendedahkan di Parlimen pada 2018, Khazanah kerugian ASD20 juta dalam peruncit pakaian dalam di India dan pelaburan RM3 bilion melalui ekuiti persendirian untuk mengambil alih bank telah bankrap.

“Sekiranya, Azman sekarang dilantik, bukankah ini menjadi tamparan memalukan buat Azmin yang tidak seharusnya duduk dalam MPN jika dia seorang yang bermaruah?”

Semalam, Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz dilaporkan berkata, Pakatan Harapan, Warisan dan Pejuang dipelawa menghantar wakil untuk menyertai MPN. Wakil kerajaan Sabah dan Sarawak turut dijemput.

Beliau berkata, sejumlah pakar daripada pelbagai industri menyuarakan kesediaan mereka untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran, termasuk bekas menteri, Nor Mohamed Yakcop, pengasas AirAsia, Tony Fernandes dan pakar penyakit berjangkit, Dr Adeeba Kamarulzaman.

Pakar lain termasuk Presiden PKS Malaysia, Michael Kang, Dr Sivakumar Thurairajasingam dari Sekolah Perubatan & Sains Kesihatan Jeffrey Cheah, bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Habibah Abdul Rahim, aktivis hak kanak-kanak, Hartini Zainudin, pakar psikiatri Dr Sivakumar Thurairajasingam, penasihat Kumpulan Media Star, Wong Chun Wai. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.