`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, July 5, 2021

Lelaki buta bakal diusir, rayu bantuan cari rumah baharu

 

Harrichandran Manokaran yang tinggal di tingkat 17 sebuah flat di Taman Bukit Jambul, Pulau Pinang, terpaksa menaiki tangga selama satu jam setengah untuk sampai ke rumahnya, jika lif rosak.

GEORGE TOWN: Bekas penjual bunga, Harrichandran Manokaran terpinga-pinga apabila mendengar mengenai kempen bendera putih untuk membantu individu memerlukan.

Apabila diberitahu ada pihak akan tampil membantunya jika beliau mengibarkan bendera putih, lelaki berusia 42 tahun berkenaan memberitahu beliau pasti akan mengibarkan baju lama pada batang penyapu jika tahu lebih awal mengenai kempen itu.

Harrichandran, yang lebih mesra dipanggil Harri, hilang penglihatan akibat kencing manis dan memerlukan tempat tinggal baharu.

Rumah sedia ada yang dihuninya di tingkat 17 sebuah flat di Taman Bukit Jambul, di sini, akan dijual tidak lama lagi.

Beliau mencari sebuah rumah di tingkat lebih rendah dan hanya mampu membayar sewa sekitar RM350 sebulan menggunakan wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan PERKESO.

Lif di flat yang didiaminya ketika ini tidak boleh diharapkan dan beliau perlu menaiki tangga selama satu jam setengah untuk sampai ke rumahnya di tingkat 17.

Beliau bercadang menyewa sebuah flat lima tingkat berhampiran tapak Pesta di Sungai Dua, di sini.

“Saya hanya memerlukan bantuan untuk mencari tempat tinggal baharu dengan sewa berpatutan,” katanya kepada FMT.

Harri tinggal bersendirian. Isterinya meninggalkannya pada 2014, dua tahun selepas beliau diserang angin ahmar, dan membawa anak lelaki mereka berusia 11 tahun bersamanya. Beliau sering berhubung dengan anaknya melalui telefon.

Selepas hilang penglihatan, beliau terus mengusahakan kedai bunga sehingga 2018 sebelum kesihatannya mula merosot dan mengalami kegagalan buah pinggang yang menyebabkan beliau memerlukan rawatan dialisis secara berkala.

Aktivis kebajikan, Vimalan Chandrasekaran menyerahkan barangan keperluan asas kepada Harrichandran Manokaran di flatnya. 

Beliau terus menghasilkan kalungan bunga melati dan menggunakan beberapa jenis bunga lain mengikut permintaan pelanggan di rumah selain menjual vitamin untuk sebuah syarikat jualan langsung dengan memperoleh RM30 bagi setiap jualan.

Namun perniagaannya terjejas ketika pandemik dan beliau hanya mampu menjual tiga kotak sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) bermula tahun lalu.

“Saya boleh beritahu vitamin mana yang baik untuk anda berdasarkan penyakit anda. Walaupun buta, saya masih boleh membuat kalungan bunga. Ia adalah keupayaan memori otot yang saya miliki sejak berusia 12 tahun. Saya juga tidak menyimpan nombor telefon, tetapi mengingatnya,” katanya kepada FMT.

Beliau menerima bantuan kebajikan masyarakat berjumlah RM300 sebulan dan RM900 daripada PERKESO yang digunakan untuk menanggung kos rawatan dialisis mingguan.

Bagaimanapun, RM1,200 tidak mencukupi kerana separuh digunakan untuk membayar sewa, lebih RM500 lagi untuk pengangkutan Grab ke pusat dialisis tiga kali seminggu. Selebihnya dihabiskan untuk makanan dan kadangkala beberapa rakan dan adiknya di Klang turut menghantar makanan vegetarian menggunakan aplikasi e-panggilan.

Harri diperkenalkan kepada FMT oleh aktivis Vimalan Chandrasekaran yang menyumbang barangan keperluan asas kepadanya sejak bulan lalu selepas mendapat tahu keadaannya.

Vimalan juga berjanji mendapatkan makanan panas untuknya setiap hari. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.