PETALING JAYA: Keluarga kepada seorang tahanan reman Mohd Iqbal Abdullah, 29, yang meninggal dunia di Hospital Tanjung Karang, berhasrat mengambil tindakan undang-undang terhadap Jabatan Penjara Malaysia, polis dan kerajaan Malaysia, kerana menjadi penyebab kematian tahanan itu.
Pada 29 Jun lalu, Mohd Iqbal, yang direman di Penjara Sungai Buloh, meninggal dunia di hospital berkenaan tanpa diketahui punca kematian selepas dilaporkan tidak sedarkan diri.
Isteri Iqbal, Nursyamsiah Yakathali, membuat laporan berhubung kematian suaminya di Balai Polis Gombak pada 5 petang, hari sama. Mohd Iqbal meninggalkan dua anak perempuan berusia lima dan setahun.
Peguam M Manoharan berkata, Penjara Sungai Buloh perlu berterus terang dalam isu kematian tahanan terbabit dan secara telus menyiasat punca kematian sebenar demi kepentingan dan keadilan kepada keluarga si mati.
“Pihak berkuasa penjara wajib menjawab, Ketua Pengarah Penjara perlu meletakkan jawatan dan pelaku yang mengakibatkan insiden kematian perlu dipecat,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Mohd Iqbal, seorang pemandu van sekolah meninggal dunia sementara menunggu janji temu dengan pakar di hospital. Lelaki berkenaan ditangkap dan didakwa atas tuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dua kesalahan kecil lain pada September tahun lalu.
Manoharan ketika mengulas lanjut berkata, Mohd Iqbal dilaporkan meninggal dunia sebelum diberikan rawatan pakar selepas dikatakan menderita masalah perut dan penyakit tidak diketahui.
“Laporan patologi tidak memaklumkan punca sebenar kematian Mohd Iqbal, sekali gus menyebabkan pihak keluarga keliru walaupun pihak mereka melakukan bedah siasat selama empat jam,” katanya.
Beliau berkata, tidak cukup dengan itu, siasatan terhadap punca kematian masih diletakkan pada status ‘menunggu siasatan makmal’.
“Keluarga juga masih belum dapat mengambil sijil kematian kerana punca kematian tidak jelas,” katanya sambil mempersoalkan tindakan keperluan menunggu siasatan makmal. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.