PETALING JAYA: Putrajaya diingatkan untuk memudahkan proses dan urusan pemasaran atas talian yang dilihat lebih sesuai berbanding normal ‘marketing’ yang disifatkan sebagai tidak lagi berfungsi ketika ini, kata bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkata, ketika perniagaan secara fizikal tidak dapat dilakukan susulan pandemik Covid-19, pemasaran secara dalam talian dapat membantu merancakkan semula aktiviti jual beli.
“Normal ‘marketing’ tidak boleh jalan sekarang, hanya ‘online marketing’ sesuai sekarang. Kerajaan perlu permudahkan proses itu. Kerajaan patut usaha mengadakan pemasaran yang mudah kepada mereka yang ingin memasarkan produk mereka di seluruh negara secara ‘online’,” katanya.
Mahathir berkata, di samping membantu ekonomi bergerak, melalui penghantaran menggunakan industri gig selain pembayaran dalam talian, ia akan memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP), seterusnya mengawal penularan Covid-19 kerana mengurangkan perjumpaan secara fizikal.
Mahathir berkata, kerajaan patut menyediakan kemudahan kepada golongan peniaga yang ingin memasarkan produk mereka secara dalam talian.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Masa Depan Malaysia (Masa), Mohd Nizam Mahshar dalam forum tersebut berkata, penting untuk mempersiapkan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) ke arah pendigitalan sebagai persediaan menempuh pasca Covid-19.
“Perancangan pasca Covid-19, bagaimana PKS bangun semula selepas Covid-19? Justeru kita patut mempersiapkan PKS merancang perniagaan mereka selepas pandemik, sebagai contoh, mereka perlu beralih ke arah pendigitalan,” katanya. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.