PETALING JAYA: Keputusan Umno untuk menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri bermaksud semua pemimpin parti dan Ahli Parlimen yang memegang jawatan dalam kerajaan mesti meletakkan jawatan dengan segera, menurut seorang penganalisis.
Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya (UM) berkata, ini termasuk mereka yang memegang jawatan menteri mahupun ketua-ketua GLC.
“Jika tidak patuh, ini bermaksud mereka melanggar mandat perwakilan Perhimpunan Agung Umno, dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT).
“Ini pastinya akan membawa kepada tindakan disiplin, termasuk pemecatan segera, jika mereka terus menentang arahan parti,” katanya kepada FMT, sambil menambah, ramai dijangka menuruti keputusan parti.
Tambahnya, mereka yang memutuskan untuk terus menyokong Muhyiddin sebagai PM dijangka melompat ke Bersatu.
“Namun, ini dijangka hanya akan melibatkan Ahli Parlimen, bukan ahli akar umbi, dan ia tidak akan membawa kepada pembubaran cawangan atau bahagian,” katanya.
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi membuat pengumuman penting itu semalam berikutan mesyuarat MKT yang berlangsung lebih empat jam.
Keputusan itu juga dibuat hanya beberapa jam selepas Muhyiddin melantik Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob sebagai timbalan perdana menteri (TPM) dan Bendahari Agung Barisan Nasional (BN) Hishammuddin Hussein sebagai menteri kanan (keselamatan).
Pada sidang medianya lewat malam tadi, Zahid tidak menyentuh mengenai jawatan TPM baharu Ismail, mungkin menyerahkan kepada beliau sendiri untuk menyatakan pendiriannya.
Oh Ei Sun daripada Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, sementara kerajaan pimpinan Perikatan Nasional (PN) secara rasmi telah kehilangan majoriti Parlimennya, Zahid tidak memberikan arahan yang jelas mengenai langkah Umno seterusnya.
Jaminan Zahid untuk tidak menyokong Presiden PKR Anwar Ibrahim sebagai PM atau bekerjasama dengan DAP juga menimbulkan persoalan mengenai bagaimana kerajaan seterusnya akan dibentuk dan siapa yang akan memimpinnya.
“Umno dan PKR saja tidak cukup untuk bentuk kerajaan, jadi masih perlu DAP,” katanya.
“Yang di-Pertuan Agong sekarang harus melantik PM yang pada pandangan baginda berkemungkinan dapat menguasai majoriti Parlimen,” kata Oh kepada FMT.
Apabila ditanya siapa yang boleh mengambil alih jawatan PM daripada Muhyiddin jika bukan Anwar, yang dikhabarkan disokong oleh Zahid, Oh berkata, Dr Mahathir Mohamad mungkin menjadi PM sekali lagi.
Katanya, Umno “pasti” akan sudi bekerjasama dengan bekas presiden Umno itu kerana beliau adalah “bos lama mereka”.
Tidak mungkin Zahid menjadi PM kerana beliau terkenal atas ketidakcekapannya, sementara veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah juga tidak sesuai untuk jawatan itu, tambahnya.
Bagaimanapun, Lee Kuok Tiung daripada Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata, melantik PM baharu tidak semestinya akan memperbaiki situasi semasa, melainkan kerajaan baharu dapat tampil dengan rancangan lebih baik.
“Saya yakin situasi di Malaysia buruk, tetapi boleh jadi lebih buruk jika langkah-langkah yang telah dijalankan tidak diambil,” katanya kepada FMT.
Sementara itu, Kamarul Zaman Yusof daripada Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, nasib kerajaan belum dapat ditentukan kerana Zahid tidak memperincikan bagaimana keputusan itu dicapai dan sama ada ia dipersetujui semua Ahli Parlimen.
“Sehingga majoriti Ahli Parlimen Umno menandatangani akuan bersumpah bahawa mereka tidak lagi menyokong Muhyiddin, kita tidak boleh anggap beliau telah kehilangan sokongan majoriti di Dewan Rakyat,” katanya.
Cara terbaik untuk menentukan sama ada Muhyiddin mempunyai keyakinan majoriti adalah melalui undian di Parlimen, tambahnya. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.