PETALING JAYA: Pemuda Umno menggesa kerajaan memperluaskan skop Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) bagi memastikan kemurnian institusi Islam itu tercapai.
Ketuanya, Asyraf Wajdi Dusuki berkata skop siasatan RCI juga perlu mengambil kira Pelan Pemulihan TH yang telah dimulakan pada zaman Pakatan Harapan (PH).
“Kelemahan Pelan Pemulihan ini telah ditegur oleh Ketua Audit Negara dalam Laporan Tahunan TH 2019. Namun sehingga sekarang tidak kelihatan apa-apa penambahbaikan ke atas teguran tersebut.
“Kedua, siasatan RCI akan juga merangkumi keabsahan jaminan ke atas hutang RM27.56 bilion Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) kepada TH.
“Ini kerana walaupun PH berulang kali mengatakan bahawa hutang (sukuk) tersebut dijamin kerajaan, tetapi hakikatnya ia tidak pernah dibentang di Parlimen atau mematuhi Akta Jaminan Pinjaman (Pertubuhan Perbadanan) 1965,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, kerajaan hari ini bersetuju menubuhkan RCI bagi menyiasat isu berbangkit mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) dari 2014 hingga 2020, kata Ismail Sabri Yaakob
Timbalan Perdana Menteri berkata, siasatan itu adalah hasil pengauditan perunding seperti PricewaterhouseCoopers (PwC), Ernst & Young (EY) dan Roland Berger dari tahun 2014 hingga 2020.
Asyraf juga berkata RCI itu perlu menelusuri kemampuan UJSB yang perlu membayar RM27.56 bilion kepada TH sebelum tahun 2027.
Katanya, ini kerana berdasarkan jawapan Timbalan Menteri Kewangan 2, Mohd Shahar Abdullah di Dewan Rakyat pada tahun lepas, UJSB hanya memperoleh pendapatan sebanyak RM234 juta bagi tahun 2019.
“Siasatan ke atas kemampuan UJSB ini akan membolehkan Suruhanjaya Diraja membuat cadangan-cadangan bagi memastikan amaun hutang dapat dibayar mengikut masanya dan sekaligus memelihara kepentingan institusi Islam dan para pendeposit.
“Siasatan ke atas pelan ini juga akan membolehkan suruhanjaya menyiasat dengan tuntas kemampuan sebenar kewangan TH pada hari ini. Ini kerana berdasarkan Laporan Tahunan TH 2019, keuntungan nyata (hasil perniagaan normal) TH hanyalah RM210 juta, sementara baki RM1.39 bilion adalah keuntungan tidak nyata yang sebahagian besarnya datang daripada sukuk UJSB tersebut,” katanya.
Asyraf juga menggesa siasatan ke atas Pelan Pemulihan TH itu membolehkan suruhanjaya memberikan cadangan-cadangan penambahbaikan.
“(Ini) terutama jika kita melihat dokumen rasmi yang menyatakan dengan jelas bahawa sukuk tersebut tiada penarafan, tidak boleh diniagakan, tidak boleh dipindah milik serta ‘unsecured zero coupon’ (berisiko tinggi),” katanya. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.