PENAMPANG: Lebih 12 kampung dan taman perumahan di sini dilanda banjir, selain 10 jalan turut dilaporkan ditenggelami air susulan hujan lebat sejak petang semalam.
Jurucakap Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Penampang berkata, bacaan air Sungai Moyog juga melebihi paras bahaya apabila mencatatkan ketinggian 9.40 meter.
Katanya, semua agensi berkaitan kini diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga untuk melakukan pemantauan serta operasi banjir dari semasa ke semasa.
“Antara kawasan yang dinaiki air adalah Taman Donggongon, Kampung (Kg) Tuavon, Kg Kambau, Kg Dabak, Kg Nambazan, Kg Kolopis, Kg Inobong, Kg Kibabaig dan Kg Gunsing serta Penampang Proper.
“Manakala jalan yang dinaiki air pula adalah Jalan Datuk Panglima Banting, Jalan Dakata, Jalan Kasigui, Jalan Tuavon, Jalan Kolopis dan Jalan Inobong,” katanya ketika dihubungi FMT.
Menurutnya, turut ditenggelami air adalah Jalan Edmund Labunda, Jalan Nambazan, Jalan Kibabaig serta Bulatan Siga berhampiran Pekan Donggongon.
“Pusat pemindahan sementara (PPS) sudah dibuka di Rumah Kelab Kompleks Sukan Penampang sebagai persediaan sebarang keperluan memindahkan penduduk terjejas. Ketika ini Sekolah Menengah St Michael Penampang turut dilanda banjir.
“Pemantauan terpaksa dilakukan dari semasa ke semasa disebabkan keadaan cuaca yang tidak menentu,” katanya. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.