`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, July 1, 2021

Polis nafi ugut saman penduduk naik bendera putih

 

Ketua Polis Pahang, Ramli Mohamed Yoosuf berkata, bantuan sudah pun diserahkan kepada pihak yang menaikkan bendera putih di kampung berkenaan petang tadi. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Polis Pahang menafikan dakwaan ada anggotanya marah atau mengugut akan mengeluarkan saman kepada penduduk di Kampung Bukit Setongkol, Kuantan, Pahang yang menaikkan bendera putih.

Ketua Polis Pahang Ramli Mohamed Yoosuf sebaliknya menjelaskan, terdapat penduduk di kawasan itu yang menaikkan bendera putih pada tempat awam iaitu di tiang elektrik dan disifatkan tidak sesuai.

“Semasa di lokasi tersebut, dilihat satu bendera dipasang pada tiang elektrik dan satu pada rumah kediaman.

“Pihak polis sempat menemubual mangsa-mangsa ini. Antara yang dapat disampaikan, nasihat supaya bersabar, langkah menaikkan bendera putih di kediaman adalah betul untuk mudahkan pengesanan dan penyaluran bantuan oleh pihak berwajib,” katanya kepada FMT.

Ramli berkata, pemasangan bendera putih pada tiang elektrik tidak sesuai kerana ia akan menyukarkan pihak yang ingin menyalurkan bantuan mengesan pihak yang memerlukan bantuan di kampung berkenaan.

Katanya, atas usaha segera juga bantuan dapat diserahkan kepada pihak yang menaikkan bendera putih di kampung itu petang tadi.

“Hasil pemantauan, tujuh keluarga telah dikesan mengalami kesusahan dan memerlukan bantuan disebabkan terkesan dengan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan.

“Perkara itu dapat sampai pada pengetahuan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Bukit Setongkol, Kamaluddin Ahad dan beliau yg hadir bersama polis, telah kemukakan senarai nama pada Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya.

Katanya, keseluruhan tujuh keluarga itu membabitkan 14 dewasa dan lima kanak-kanak dan ada dalam kalangan mereka yang menghidap penyakit kronik seperti kencing manis dan strok.

Beliau berkata, rata-rata daripada mereka terkesan dengan perlaksanaan PKP dan hilang punca pendapatan kerana sebahagian besar bekerja sendiri dan peniaga kecil.

“Pemasangan bendera putih ini juga tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan tindakan 13 keluarga di Bukit Setongkol menaikkan bendera putih untuk meminta bantuan tidak disenangi pihak tertentu hingga diarah menurunkan bendera berkenaan semalam.

Tindakan penduduk itu dikatakan satu kesalahan dan saman boleh dikeluarkan jika bendera yang dipasang gagal diturunkan.

Bimbang dikenakan tindakan, penduduk akur apabila bendera yang dipasang pada Selasa terpaksa diturunkan pada Rabu selepas diarah berbuat demikian oleh seorang individu yang datang bersama tiga anggota polis. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.