`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Sunday, July 25, 2021

Pusat beli-belah hanya mahu benarkan pengunjung lengkap divaksin

 

Pengusaha pusat beli-belah berharap mereka dapat melaksanakan syarat hanya pengunjung yang lengkap divaksin dibenar memasuki premis mereka.

PETALING JAYA: Pengusaha runcit berharap hanya pengunjung yang divaksin sepenuhnya dibenarkan memasuki premis mereka untuk memacu kembali industri peruncitan.

Dalam kenyataan bersama yang mewakili kumpulan itu, mereka berkata, sekiranya kerajaan membenarkan mereka melaksanakan peraturan itu, ia akan mewujudkan persekitaran selamat kepada pengunjung.

“Ini akan meningkatkan peluang untuk pemulihan dan kelangsungan perniagaan runcit yang terjejas teruk akibat penutupan baru-baru ini.

“Kami menunggu dengan penuh harapan apa yang akan diumumkan Perdana Menteri (Muhyiddin Yassin) kepada mereka yang sudah lengkap dua dos vaksin,” katanya merujuk kenyataan perdana menteri semalam berhubung berita baik untuk individu yang divaksin sepenuhnya.

Muhyiddin dilaporkan berkata, beliau akan mengumumkan kelonggaran SOP khusus bagi mereka dalam beberapa hari lagi, termasuk pergerakan dalam negara, aktiviti sosial, sukan dan makan di restoran.

Pengusaha runcit turut berharap kerajaan membenarkan penyewa dan lot kedai di pusat beli-belah beroperasi semula selepas imuniti kelompok mencapai 70%.

“Kami mahu menjadi ‘gelembung hijau’ kepada mereka yang mahukan kelegaan selepas sekian lama duduk di rumah,” katanya sambil menggalakkan lebih ramai individu mendapatkan vaksin.

Kumpulan berkenaan terdiri daripada Persatuan Pengurusan Kompleks Malaysia (PPKM), Persatuan Peruncit Malaysia (MRA), Persatuan Rantaian Peruncit Malaysia (MRCA), Persatuan Peruncit Bumiputera (BRO), Persatuan Pengurus REIT Malaysia (MRMA) serta Persatuan Taman Tema dan Pusat Hiburan Keluarga Malaysia (MATFA). - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.