`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Monday, July 26, 2021

Rais Yatim pengerusi baharu Jawatankuasa Khas Rasuah

 

Rais Yatim dilantik sebagai pengerusi baharu Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) untuk tempoh tiga tahun.

KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Negara Rais Yatim dilantik sebagai pengerusi baharu Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) berkuat kuasa 15 Julai lalu untuk tempoh tiga tahun.

Turut dilantik enam anggota baharu yang terdiri daripada empat senator dan dua Ahli Parlimen.

Mereka ialah Naib Presiden PAS Senator Idris Ahmad, Senator Md Nasir Hashim, Senator Zaiedi Suhaili, Senator Raj Munni Sabu, Ahli Parlimen Bukit Bendera Wong Hon Wai dan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.

Watikah pelantikan itu disampaikan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada majlis ringkas di Bangunan Parlimen hari ini.

Turut hadir Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki

JKMR diwujudkan secara perundangan mengikut Seksyen 14 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694).

Ahli-ahlinya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong dalam kalangan ahli Dewan Negara dan Dewan Rakyat mewakili parti pemerintah dan pembangkang.

JKMR bertanggungjawab menasihati perdana menteri mengenai apa-apa aspek masalah rasuah dan memeriksa laporan tahunan SPRM.

Jawatankuasa khas itu juga berperanan untuk memeriksa ulasan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah serta mendapatkan penjelasan dan penerangan mengenai laporan tahunan SPRM.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Rais berkata dengan tanggungjawab yang diberikan jawatankuasa tersebut, beliau berazam akan melunaskan tanggungjawab sebaik mungkin demi negara tercinta.

“Soal menghadapi rasuah mesti mempunyai azam, pemahaman dan keikhlasan terutama perundangan dan penguatkuasaan,” katanya.

Beliau berkata, setiap ahli dilantik akan memberikan penjelasan anti rasuah yang sesuai kepada rakyat bagaimana untuk mencegah perbuatan tersebut.

TAGS: Tan Sri Rais Yatim, JKMR, pelantikan ahli baharu, SPRM. -FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.