`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, August 20, 2021

Sindiket pelacuran guna WeChat tumpas

 

Sindiket menawarkan iklan pelacuran dalam aplikasi WeChat sebelum pelacur menunggu pelanggan di bilik dengan bayaran RM120 hingga RM200 setiap sesi.

BUKIT MERTAJAM: Polis menumpaskan satu sindiket pelacuran susulan penahanan 11 wanita termasuk lapan warga asing dalam siri serbuan di hotel bajet, di sekitar Bukit Mertajam, Butterworth dan Simpang Ampat, di sini, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang Rahimi Ra’ais, berkata hasil risikan dan intipan dijalankan polis sejak seminggu lepas, pihaknya melakukan serbuan di empat hotel bajet dan menahan tiga wanita tempatan serta lapan wanita warga asing yang kesemuanya berusia 25 hingga 37 tahun.

“Serbuan Ops Noda Bersepadu itu bermula pukul 3 petang semalam dan hasil pemeriksaan semua wanita yang ditahan itu dipercayai menjalankan kegiatan pelacuran dengan menawarkan khidmat seks di sekitar kawasan tanah besar negeri ini.

“Modus operandi mereka ialah menawarkan iklan pelacuran di aplikasi WeChat sebelum pelanggan datang ke hotel bajet dan pelacur yang ditempah menunggu di bilik untuk memberikan “perkhidmatan” dengan bayaran RM120 hingga RM200 bagi setiap sesi,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata lapan wanita warga asing itu terdiri daripada warga Thailand, Indonesia dan Vietnam, yang sebahagian daripada mereka tiada dokumen perjalanan diri serta menyalah guna permit kerja, dan menurutnya polis turut menahan dua lelaki berusia 30-an yang merupakan pelanggan dan penjaga hotel bagi membantu siasatan.

“Selain itu, pengusaha hotel bajet juga akan dikenakan kompaun menurut Peraturan 17(1) Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021 dan semua yang ditahan direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.