Apabila “berita” (siap dengan gambar) tersebar beberapa pemimpin Umno dan PAS duduk semeja di sebuah restoran, Timbalan Presiden Umno tampil “cool” dengan reaksinya. Kata Mohamad Hasan: “Kami minum teh tarik saja, lama tak jumpa”.
Betul ke? Ngeteh saja? Tak ada apa-apa lagi? Bincang-bincang politik umpamanya?
Rasanya Tok Mat tidak beri cerita penuh. Begini.
Jika benar pertemuan pemimpin Umno-PAS tempoh hari ialah untuk berbincang soal agihan kerusi untuk PRU15 (atau PRN Melaka jika diadakan) seperti yang ramai percaya, tidak mungkin ia dilangsungkan secara terbuka, di kedai makan yang turut dikunjungi ramai.
Pemimpin berkenaan sesungguhnya lebih arif bahawa kehadiran mereka di restoran akan menarik perhatian ramai dan pada zaman ini di mana hampir semua telefon bimbit ada kamera, mereka tahu apa yang mereka lakukan akan dirakam dan gambar akan tular di media sosial dengan sekelip mata.
Pemimpin kedua-dua parti itu adalah “public figure” – dikenali ramai. Tentu juga ada pengunjung restoran yang “singgah” di meja mereka untuk bertegur sapa, menyentuh genggaman tangan, atau sentuh siku mengikut SOP masa kini . Sekali gus “menjejaskan kelangsungan” perbincangan.
Selain Tok Mat, turut kelihatan hadir (berdasarkan gambar yang tular) ialah Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man; Setiausaha Agung BN, Zambry Abdul Kadir; Naib Presiden PAS, Idris Ahmad; dan Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki.
Semua “famous” belaka. Namun perbincangan agihan kerusi mesti disertai beberapa lagi pemimpin kanan parti. Takkan hanya lima orang menentukan keputusan sebesar itu isu agihan kerusi.
Pertemuan penting untuk menentukan di mana Umno bertanding, di mana PAS bertanding, berapa kerusi untuk Umno, berapa kerusi untuk PAS, pastinya diadakan secara serius dan sengit. Maklumlah mereka ber”nego”. Tawar menawar. Masakan diadakan itu semua di restoran di mana apa yang ditutur boleh didengar orang yang sedang menjamu selera di meja sebelah.
Oleh itu, saya yakin Tok Mat berkata benar apabila menyatakan mereka sekadar “minum teh tarik”. Tetapi mungkin itu hanya sebahagian daripada ceitanya.
Seperti dikatakan tadi mungkin beliau tidak memberitahu cerita penuh. Mungkin perbincangan penting telah diadakan lebih awal di tempat lain dan mereka datang ke restoran untuk minum teh, berehat sebentar – “take a break” – sebelum menyambung perbincangan di tempat pertemuan tadi atau sememanya sudah selesai berbincang untuk hari berkenaan.
Itu sekadar spekulasi atau agak-agak kerana saya tidak ada informasi sah sama ada itu yang benar-benar berlaku sebelum sesi teh tarik bermula di restoran. Jika perbincangan agihan kerusi diadakan pun saya faham mengapa Tok Mat tidak mahu dan tidak boleh mengumumkannya. Perkara sepenting ini tidak boleh diumumkan begitu sahaja.
Namun imbas kembali 3 Sept lalu, Tok Mat dipetik media berkata persefahaman Umno-PAS mengenai pembahagian kerusi untuk PRU15 sudah mencapai 70% menerusi beberapa mesyuarat Muafakat Nasional.
Pun begitu kurang 24 jam daripada “penjelasan” Tok Mat mengenai sesi teh tarik beliau dan rakan-rakan, Asyraf (yang turut minum teh tarik waktu itu) menulis di media sosial pemimpin Umno dan PAS “sama-sama mencari titik titik persamaan demi memperteguhkan ukhwah“. Beliau tidak member huraian apa yang dimaksudkan.
Hubungan Umno-PAS umum tahu sejak kebelakangan ini (menerusi Muafakat Nasional) amat suram. Malah Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, memberi gambaran Muafakat Nasional bagai sudah tidak wujud lagi.
Baru-baru ini Zahid menegaskan partinya tidak akan bekerjasama dengan Bersatu mahupun PAS pada PRN Melaka. Ertinya tiada Muafakat Nasional pada PRN Melaka. “Oleh kerana MN tidak pernah didaftarkan maka saya tidak nampak ada cahaya terang untuk MN direalisasikan sebagaimana pilihan raya kecil (masa lalu) yang pernah diadakan. Biarlah Umno bertanding dengan panji-panji BN secara solo,” Zahid dipetik berkata pada satu program bual bicara tempoh hari.
Adakah itu hanya membabitkan PRN Melaka? Atau ketetapan itu merangkumi RU 15? Perlu diingat Umno setakat ini hanya memutuskan dengan rasmi tidak akan bekerjasama dengan Bersatu untuk PRU15. Itu keputusan Perhimpunan Agung Umno 2020.
Tetapi adakah kenyataan Asyraf bahawa pemimpin Umno dan PAS bertemu untuk “mencari titik persamaan” boleh dilihat ada usaha mahu berbaik semula dengan PAS? Perlu diingat ucapan beliau sendiri pada Persidangan Pemuda Umno Mac lalu telah menyinggung perasaan PAS. Ketika itu Ketua Pemuda Umno itu membidas PAS yang beliau dakwa mengkhianati Umno dengan berbaik-baik dengan Bersatu.
Mungkinkah Tok Mat bercakap cakap dengan Tuan Ibrahim (mereka sama “level” kerana memegang jawatan Timbalan Presiden parti masing-masing) untuk cari persamaan walaupun presidennya sudah tidak menaruh harapan terhadap Muafakat Nasional?
Atau mungkinkah Tok Mat dan Zahid menggunakan rutin “good cop bad cop”? Ini selalu kita lihat dalam siri televisyen atau filem Barat mengenai polis. Ia satu taktik “psychology” yang digunakan untuk soal siasat dan berunding atau “negotiate” di mana dua individu dalam pasukan yang sama mengambil kaedah berlainan dan bertentangan ketika menghadapi sesuatu subjek.
Si “polis jahat” mengambil sikap negatif, keras, dan agresif manakala sang “good cop” bersikap bertimbang rasa, simpati, serta lembut terhadap subjek. Matlamatnya ialah untuk menyakinkan subjek bekerjasama dengan “good cop” sama ada kerana mempercayai kebaikannya atau akibat gentar dengan “bad cop”.
Hasilnya “good cop” dan “bad cop” yang berjaya. Itu lazimnya. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.